PETALING JAYA: Putera MIC mencadangkan kerajaan, khususnya Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Belia dan Sukan, melaksanakan tiga reformasi besar bagi menangani masalah kadar pengangguran belia yang tinggi.
Ketuanya, Shatesh Kumar Sangar, berkata menurut Jabatan Perangkaan (DOSM), kadar pengangguran negara meningkat kepada 3.0% pada April dengan jumlah penganggur kini mencecah 511,800 orang. Lebih membimbangkan, kadar pengangguran belia berumur 15 hingga 24 tahun kekal tinggi pada 10.2% melibatkan 290,800 orang, manakala pengangguran dalam kalangan belia berumur 15 hingga 30 tahun meningkat kepada 6.3% dengan jumlah 394,700 orang.
Bagi menangani isu itu, Shatesh mencadangkan Malaysia memperkenalkan sistem model ‘apprenticeship’ di mana setiap graduan baharu, lepasan TVET dan pencari kerja diberi jaminan penempatan latihan industri berbayar selama 6 hingga 12 bulan bersama insentif kerajaan. Model yang digunakan di Jerman dan Switzerland itu berjaya menurunkan kadar pengangguran belia di kedua-dua negara kerana latihan dibina berdasarkan keperluan industri sebenar, bukan semata-mata di bilik kuliah.
Beliau juga mencadangkan kerajaan memperkenalkan skim jaminan pekerjaan pertama untuk belia berumur bawah 30 tahun, seperti dilaksanakan di beberapa negara Eropah menerusi konsep ‘Youth Guarantee’. Melalui mekanisme ini, setiap belia yang menganggur melebihi empat bulan mesti ditawarkan pekerjaan, latihan kemahiran, program perantisan atau peluang pendidikan lanjutan. Pendekatan ini membantu mengurangkan kadar pengangguran belia secara signifikan di beberapa negara Kesatuan Eropah dan memastikan golongan muda tidak terperangkap dalam pengangguran jangka panjang.
Selain itu, Shatesh mencadangkan sebuah gerakan nasional yang memfokuskan latihan intensif dalam bidang Kecerdasan Buatan (AI), keselamatan siber, analitik data, ekonomi hijau, automasi dan teknologi digital. Singapura melalui pendekatan ‘SkillsFuture’ telah membuktikan bahawa pelaburan besar dalam kemahiran masa depan mampu meningkatkan kebolehpasaran tenaga kerja serta mempercepatkan transformasi ekonomi negara. “Malaysia tidak boleh terus melatih belia untuk pekerjaan semalam sedangkan ekonomi dunia sedang mencipta pekerjaan baharu setiap hari,” katanya.



