ALOR SETAR: Dua anggota tentera dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan mengangkut pendatang asing tanpa izin yang diseludup di Bukit Kayu Hitam, berhampiran sini, pada bulan lalu.
Zulhilmi Aqwa A Rahman, 34, dan Johan Iskandar Shah Jeffry Pidin, 26, mengangguk tanda faham pertuduhan selepas dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Sharmila Abdul Samad. Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh.
Mengikut pertuduhan, Zulhilmi dituduh mengangkut dua warga Myanmar, dikenal pasti sebagai Binajo, 19, dan Antoi, 29, menggunakan sebuah kereta Toyota Yaris. Sementara itu, Johan dituduh mengangkut seorang warga Myanmar berusia 61 tahun, Win Shwe, menggunakan sebuah kereta Perodua Bezza.
Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Check Point Foxtrot, Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam pada kira-kira jam 7.13 malam, 22 Mei lalu.
Mereka didakwa mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (Akta 670), yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun, dan boleh dikenakan denda, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Zulhilmi diwakili peguam G Shanmugam, manakala Johan tidak diwakili. Timbalan Pendakwa Raya Nurfatin Mastura Asri, yang mengendalikan kes itu, tidak menawarkan jaminan kepada kedua-dua tertuduh.
Mahkamah menetapkan 17 Ogos untuk sebutan kes.



