KUALA LUMPUR: Sebanyak 668,321 kekosongan jawatan telah diiklankan melalui portal MYFutureJobs yang diuruskan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) setakat 30 Jun, kata Menteri Sumber Manusia R Ramanan.
Beliau berkata 96,700 kekosongan masih dibuka untuk permohonan, menunjukkan ketersediaan peluang pekerjaan merentas sektor dan tahap kemahiran.
Hampir 40 peratus pekerjaan berkemahiran tinggi
“Antara 96,700 kekosongan pekerjaan aktif, hampir 40 peratus adalah jawatan berkemahiran tinggi, lebih 30 peratus dalam sektor teknikal dan vokasional, manakala hampir 20 peratus menawarkan gaji bulanan melebihi RM5,000,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ramanan berkata seramai 14,029 orang telah mendapat pekerjaan melalui pameran kerjaya MYFutureJobs yang dianjurkan di seluruh negara dari Januari hingga Mei.
2,989 program dianjurkan dalam lima bulan
Beliau berkata sebanyak 2,989 program telah dianjurkan dalam tempoh lima bulan tersebut, melibatkan 86,594 pencari kerja.
“Kerajaan menyediakan sokongan menyeluruh melalui Perkeso dan platform MYFutureJobs, termasuk pemadanan pekerjaan, kaunseling kerjaya, persediaan temuduga, serta program latihan semula dan peningkatan kemahiran untuk membantu pencari kerja kembali bekerja dengan lebih cepat,” katanya.



