KUCHING: Bekalan bahan api bagi sektor tenaga negara kekal terjamin dan kerajaan akan terus memantau rapat perkembangan terkini ketegangan di Selat Hormuz, kata Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof.
Langkah proaktif Petronas dan Perdana Menteri
Beliau berkata, Malaysia tidak berdepan masalah bekalan tenaga setakat ini susulan langkah proaktif diambil Petronas bersama Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menerusi rundingan pelbagai peringkat bagi memastikan keselamatan bekalan negara.
“Kita melalui Petronas telah berunding, dengan perdana menteri ke merata tempat membuat perundingan dan bekalan tenaga kita setakat ini adalah terjamin,” katanya selepas Majlis Perasmian Penangguhan Regatta 2026 di jeti utama Kampung Sejijak, di sini.
Cabaran harga minyak dan gas dunia
Bagaimanapun, menteri peralihan tenaga dan transformasi air itu berkata, ketidaktentuan harga minyak dan gas di pasaran dunia akibat perkembangan geopolitik dijangka terus memberi cabaran kepada ekonomi negara.
“Meskipun bekalan terjamin dari segi harga adalah satu yang mencabar. Sebab itu volatiliti dari segi harga pasaran minyak dan gas itu sudah pasti akan menjejaskan kedudukan (bekalan) negara kita.”
Tekanan kepada kewangan negara
Beliau berkata, keadaan itu juga akan memberi tekanan kepada kedudukan kewangan negara, walaupun kerajaan terus melaksanakan program subsidi dan bantuan kepada rakyat.
“Jadi, inilah cabaran yang perlu kita hadapi dan bagaimana kita nak merancang bagi memastikan kemampanan dari segi kewangan negara supaya kita dapat membantu rakyat, akan terus diberi keutamaan oleh kerajaan.”



