Strategi petroleum Anwar tawar kepastian kepada Sarawak, kata penganalisis
Strategi petroleum Anwar tawar kepastian kepada Sarawak

Keterbukaan Perdana Menteri Anwar Ibrahim dalam memenuhi aspirasi sah petroleum Sarawak menjadi alasan kukuh negeri itu untuk menyokong laluan rundingannya, kata seorang penganalisis. Samirul Ariff Othman berkata, kesediaan Putrajaya meluaskan peranan operasi Petroleum Sarawak Bhd (Petros) memberi kepastian jauh lebih besar kepada Sarawak mengenai bekalan gas domestik, antara faktor penting memacu pertumbuhan industrinya.

Rundingan tawar kepastian jangka panjang

Samirul, yang juga profesor adjung di Universiti Teknologi Petronas, berkata kelonggaran ditawarkan Anwar sepatutnya membuka jalan kepada penerusan penglibatan membina semua pihak ke arah aturan petroleum adil dan mampan. “Pentadbiran sedia ada menunjukkan ia bersedia mencari jalan tengah yang munasabah antara aspirasi Sarawak dan keperluan mengekalkan Petronas sebagai sebuah syarikat minyak nasional yang kukuh dari segi komersial, selain berdaya saing di peringkat antarabangsa,” katanya kepada FMT. “Menjadi kepentingan bersama untuk menyokong dan memanfaatkan pendekatan sedemikian.”

Beliau menegaskan, itu tidak bermakna Sarawak perlu menyerahkan haknya atau mengurangkan cita-cita pembangun seperti dihasratkan. Sebaliknya, ia mengiktiraf penyelesaian berasaskan rundingan dan peraturan di mana menawarkan kepastian jangka panjang yang lebih besar kepada Sarawak dan Malaysia, berbanding aturan yang bergantung kepada pengaruh politik semasa.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Realiti politik berubah-ubah

Samirul mengulas susulan bekas menteri undang-undang, Zaid Ibrahim, mendakwa kerajaan persekutuan Barisan Nasional–Perikatan Nasional boleh memastikan Petronas kekal kukuh dan mampu berkembang tanpa sebarang halangan. Baru-baru ini, dalam hantaran Facebook, Zaid berkata Umno dan PAS boleh membentuk kerajaan persekutuan diterajui Melayu yang lebih kukuh dengan ruang meluas bagi melaksanakan reformasi negara. “Kita boleh memastikan Petronas kekal kukuh dan tidak terhalang pertumbuhannya,” kata Zaid.

Samirul berkata, kenyataan itu menyerlahkan lagi realiti strategik untuk Sarawak: kerajaan boleh berubah, pakatan politik boleh berkembang, dan pendekatan diguna pakai Putrajaya terhadap negeri itu tidak boleh diandaikan kekal sama. “Oleh sebab konfigurasi politik bersifat berubah, Malaysia sepatutnya mengelak membina institusi strategik negara atau aturan petroleum berdasarkan pengaruh mana-mana gabungan tertentu,” katanya. “Aturan kukuh dan berasaskan peraturan akan sentiasa memberikan kepastian lebih besar, berbanding tawar-menawar politik yang terikat pada satu-satu keadaan tertentu.”

Keseimbangan antara aspirasi Sarawak dan kekuatan Petronas

Samirul berkata, pendekatan Anwar menunjukkan cita-cita Sarawak mampu dimajukan tanpa melemahkan Petronas atau menggugat kestabilan kerangka meluas petroleum negara. Beliau berkata, hubungan timbal balas terbina atas sikap saling membantu mengekalkan ruang dan meningkatkan prospek memuktamadkan aturan yang mampu bertahan daripada sebarang perubahan kerajaan. “Sokongan terhadap pendekatan ini bukanlah soal kesetiaan partisan. Ia mengenai menyokong satu proses yang mengiktiraf kepentingan sah Sarawak, selain melindungi institusi negara yang menjadi sandaran daya tahan fiskal dan keselamatan tenaga Malaysia,” katanya.

Samirul berkata, Petronas bukan sekadar satu syarikat berkaitan kerajaan semata-mata, sebaliknya syarikat komersial yang diiktiraf di peringkat global dan menjadi antara institusi strategik cukup penting negara. Katanya, keputusannya mempengaruhi hasil negara, keselamatan tenaga, keyakinan pelabur, dan reputasi antarabangsa Malaysia. “Hala tuju syarikat minyak nasional itu tidak sepatutnya bergantung kepada mana-mana gabungan yang kebetulan membentuk kerajaan persekutuan. Ia sepatutnya dipandu disiplin komersial, kewajipan kontrak, kekukuhan tata kelola korporat, dan penciptaan nilai jangka panjang.”

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga

Prinsip sama untuk hubungan Petronas-Petros

Samirul berkata, prinsip sama sepatutnya menjadi panduan dalam hubungan yang kian berkembang antara Petronas dan Petros. Beliau berkata, isu berkenaan tidak sepatutnya dilihat dari sudut perkiraan pilihan raya, tekanan politik, atau parti mana yang mempunyai kuasa tawar-menawar yang lebih besar selepas pilihan raya. “Isu menjadi pertaruhan melangkaui soal politik. Ia melibatkan kepastian kontrak, tata kelola sumber, keyakinan pelaburan, dan pembangunan masa depan industri petroleum Malaysia,” katanya.

Samirul mengakui aspirasi Sarawak untuk memainkan peranan lebih besar membangunkan sumber dalam dan di sekitar negeri itu wajar dan difahami. Beliau berkata, penglibatan tempatan lebih besar, industri hiliran lebih kukuh, dan peningkatan penciptaan nilai untuk rakyat Sarawak sejajar dengan objektif meluas pembangunan negara. Namun, sebarang aturan baharu mestilah kekal boleh laksana secara komersial, memelihara komitmen antarabangsa Petronas, serta menyokong daya tahan fiskal, dan keselamatan tenaga jangka panjang Malaysia, katanya.

Pengisytiharan bersama Putrajaya-Sarawak

Samirul berkata, pendekatan Anwar terangkum dalam pengisytiharan bersama antara Putrajaya dan Sarawak, yang berhasrat menyelaraskan aspirasi negeri itu dengan kerangka petroleum negara. Pengisytiharan memperuntukkan undang-undang persekutuan dan Sarawak yang berkaitan dengan pengagihan gas hendaklah wujud bersama dan dihormati semua pihak, termasuk Petronas dan Petros. Ia mengesahkan Petronas akan terus menjalankan fungsi, tanggungjawab, dan kewajipannya mengikut Akta Kemajuan Petroleum 1974.

Pengisytiharan tersebut turut mengiktiraf pelantikan Petros sebagai pengagregat gas di bawah Ordinan Pengagihan Gas Sarawak 2016, di samping melindungi perjanjian sedia ada Petronas dengan pihak ketiga, melibatkan jualan dan eksport gas asli cecair (LNG). Petronas dan Petros juga akan membincangkan kerjasama lanjut mengenai keperluan gas domestik Sarawak serta projek melibatkan tenaga hijau, hidrogen, dan penjanakuasa elektrik, tertakluk kebolehlaksanaan teknikal dan komersial.

Samirul berkata, kerangka berkenaan paparan aspirasi Sarawak di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan pemeliharaan kekuatan komersial Petronas tidak semestinya bercanggah. “Objektif ini boleh dijajarkan menerusi peraturan jelas, ketelusan tata kelola, dan perjanjian yang boleh dipercayai dari segi komersial,” katanya. “Justeru, menjadi kepentingan Putrajaya, Sarawak, Petronas, dan Petros memanfaatkan pendekatan membina yang diambil di bawah teraju Anwar serta memuktamadkan penyelesaian adil, boleh dilaksanakan secara komersial, dan mampan.”

Katanya, penyelesaian seumpama itu mampu memberi kepastian lebih besar kepada Sarawak berhubung pembangunannya, selain melindungi kerangka petroleum negara. “Perbincangan itu sepatutnya melangkaui soal siapa memegang kuasa politik hari ini dan memberi tumpuan kepada kerangka institusi yang dapat berfungsi dengan paling baik untuk Sarawak dan Malaysia untuk dekad mendatang,” katanya.