Sabah lantik Zainudin Aman sebagai Setiausaha Negeri baharu
Sabah lantik Zainudin Aman sebagai Setiausaha Negeri baharu

KOTA KINABALU, 18 Jun — Kerajaan Sabah telah meluluskan pelantikan Datuk Zainudin Aman sebagai Setiausaha Negeri yang baharu, berkuat kuasa 29 Jun 2026.

Zainudin, yang kini merupakan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Negeri Sabah, akan menggantikan Datuk Seri Safar Untong yang tamat tempoh perkhidmatannya pada 28 Jun.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, pelantikan ini dijangka dapat mengukuhkan lagi perkhidmatan awam Sabah dan meningkatkan daya saingnya dalam memacu agenda transformasi pentadbiran negeri.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Ini penting untuk memastikan kemajuan dan kecemerlangan berterusan, serta membolehkan dasar-dasar kerajaan dilaksanakan dengan berkesan untuk kesejahteraan rakyat dan negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Hajiji merakamkan penghargaan dan terima kasih yang setinggi-tingginya kepada Safar atas perkhidmatan cemerlang, dedikasi, berhemah dan berintegriti sejak memegang jawatan itu pada 2019.

Safar juga dilantik sebagai Pengerusi Tanjung Aru Eco Development Sdn Bhd (TAED), sebuah syarikat milik kerajaan di bawah Jabatan Ketua Menteri, berkuat kuasa 1 Jun. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga