Inflasi Malaysia dijangka kekal 1.5-2.5 peratus tahun ini
Inflasi Malaysia dijangka kekal 1.5-2.5 peratus tahun ini

PUTRAJAYA, 15 Jun — Kementerian Ekonomi menjangkakan kadar inflasi Malaysia kekal terkawal antara 1.5 hingga 2.5 peratus sepanjang tahun ini, walaupun berdepan tekanan daripada krisis bekalan tenaga dan ketidaktentuan geopolitik global.

Komitmen Kerajaan Kawal Inflasi

Menteri Ekonomi, Datuk Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata kerajaan komited memastikan inflasi tidak memberi kesan kejutan besar kepada ekonomi dan kos sara hidup rakyat, meskipun tekanan harga dijangka berterusan.

Beliau memaklumkan kadar inflasi terkini negara dicatatkan pada 1.9 peratus, jauh lebih rendah daripada ramalan inflasi global sekitar 4.3 peratus.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Untuk 2026, unjuran selesa kami adalah inflasi berlaku antara 1.5 hingga 2.5 peratus. Ini sasaran kami supaya pergerakan inflasi kekal dalam lingkungan yang boleh dikendalikan dan tidak memberi kesan signifikan kepada rakyat,” katanya kepada media selepas perhimpunan bulanan Kementerian Ekonomi di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tekanan inflasi yang dijangka berlaku pada suku kedua tahun ini berikutan gangguan bekalan tenaga global dan kesannya terhadap sektor pengangkutan dan makanan.

Punca Tekanan Inflasi Semasa

Akmal Nasrullah menjelaskan tekanan inflasi semasa berpunca daripada peningkatan kos berkaitan bekalan minyak dan barangan input yang diperlukan untuk mengekalkan aktiviti ekonomi.

Sehubungan itu, kerajaan meneruskan pelbagai langkah mitigasi termasuk pengagihan subsidi bahan api secara bersasar, kawalan kos logistik melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS), serta pembiayaan tambahan RM5 bilion melalui Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) dan kemudahan Bank Negara Malaysia untuk membantu perniagaan kecil terus bertahan.

Namun, Akmal Nasrullah berkata tekanan inflasi boleh meningkat sekiranya krisis global berterusan.

“Setakat ini, kami berjaya mengekalkan inflasi sekitar 1.9 peratus, tetapi tekanan akan terus memberi kesan. Sebab itu kami terus melihat data rasmi dan situasi sebenar di peringkat industri supaya langkah intervensi boleh diambil lebih awal,” katanya. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga