Malaysia raih pelaburan diluluskan RM92.8 bilion pada suku pertama 2026
Malaysia raih RM92.8 bilion pelaburan diluluskan suku pertama 2026

KUALA LUMPUR: Malaysia meraih pelaburan diluluskan berjumlah RM92.8 bilion bagi suku pertama 2026, dengan Jepun menjadi pelabur asing terbesar manakala pelaburan domestik mencatatkan pertumbuhan tahun ke tahun paling kukuh dalam suku yang sama.

Menurut Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida), pelaburan tersebut melibatkan 1,249 projek merentas sektor perkhidmatan, pembuatan dan utama. Walaupun jumlah nilai mencatatkan penurunan kecil sebanyak 0.2% berbanding RM93 bilion pada suku pertama 2025, namun projek yang diluluskan dijangka mewujudkan 50,226 pekerjaan baharu, iaitu peningkatan 46.7% berbanding tempoh yang sama tahun lepas. Ini menunjukkan impak lebih besar terhadap pasaran guna tenaga daripada pelaburan yang diluluskan.

Pelaburan asing menyumbang 60.5%, atau RM56.2 bilion, kepada jumlah pelaburan yang diluluskan, manakala pelaburan domestik meningkat 13% tahun ke tahun kepada RM36.6 bilion, mewakili 39.5% daripada jumlah kelulusan, mencerminkan keyakinan dalam kalangan perniagaan Malaysia semakin meningkat.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Jepun kekal pelabur asing terbesar

Dalam kalangan pelabur asing, Jepun menjadi sumber terbesar pelaburan yang diluluskan dengan nilai RM21.5 bilion, melonjak daripada RM1.6 bilion yang direkodkan pada suku pertama 2025. Ini diikuti oleh China (RM10.1 bilion), Amerika Syarikat (RM10.1 bilion), Singapura (RM6.7 bilion) dan Thailand (RM2.5 bilion). Prestasi pelaburan Jepun yang kukuh mencerminkan hubungan ekonomi yang semakin erat antara Malaysia dan Jepun berasaskan Perkongsian Strategik Komprehensif Malaysia-Jepun yang diwujudkan pada Disember 2023.

Sebanyak 93.6% daripada pelaburan Jepun yang diluluskan pada suku pertama 2026 disalurkan kepada aktiviti transformasi digital, mencerminkan peranan Malaysia yang semakin penting dalam rantaian bekalan teknologi tinggi dan digital di peringkat serantau.

Selangor, Johor, Kuala Lumpur penerima tertinggi

Mengikut negeri dan wilayah persekutuan, Selangor mencatatkan nilai pelaburan diluluskan tertinggi sebanyak RM33.5 bilion, diikuti Johor (RM16.9 bilion), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM16.9 bilion), Pulau Pinang (RM6.2 bilion) dan Sarawak (RM4 bilion). Tiga negeri utama ini mengukuhkan kedudukan masing-masing sebagai hab pusat data global, disokong oleh rekod prestasi yang terbukti dalam menarik pelaburan daripada syarikat teknologi utama.

Kejayaan ini didorong oleh penyepaduan infrastruktur matang Cyberjaya, kedudukan strategik Johor sebagai alternatif utama kepada Singapura, serta peranan Kuala Lumpur sebagai kesalinghubungan rangkaian utama dan nadi kewangan negara.

Pengerusi Mida Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, prestasi pelaburan suku pertama 2026 memberikan isyarat yang jelas bahawa asas ekonomi Malaysia kekal kukuh, dengan pelabur global dan domestik terus yakin dengan negara ini. “Kita sedang pesat menjadi hab strategik untuk industri yang akan membentuk dekad seterusnya bagi rantau Asean dan Asia,” katanya.

Perkhidmatan kekal penyumbang terbesar

Sektor perkhidmatan kekal sebagai penyumbang terbesar dengan RM60.8 bilion atau 65.5% kepada jumlah pelaburan yang diluluskan, melibatkan 731 projek yang dijangka mewujudkan 19,758 peluang pekerjaan baharu. Pertumbuhan dalam sektor itu dipacu oleh subsektor maklumat dan komunikasi, yang menyumbang sebanyak RM38.9 bilion, disokong oleh permintaan global yang semakin meningkat terhadap kecerdasan buatan (AI) dan transformasi digital.

Pelaburan dalam pusat data dan pengkomputeran awan sahaja menyumbang sebanyak RM34.6 bilion merentas 33 projek, mewakili 88.9% daripada jumlah yang diluluskan untuk subsektor berkenaan.

Sektor pembuatan dan utama

Sektor pembuatan menarik RM24.1 bilion pelaburan yang diluluskan merentas 501 projek dan dijangka mewujudkan 30,468 peluang pekerjaan, mewakili 60.7% daripada jumlah keseluruhan pekerjaan yang dijangkakan. Pelaburan itu melibatkan industri utama termasuk elektrik dan elektronik (RM6 bilion), kimia (RM3.9 bilion), jentera dan peralatan (RM3.5 bilion), pembuatan makanan (RM3.3 bilion) dan peralatan pengangkutan (RM2.2 bilion).

Sektor utama pula mencatatkan pelaburan yang diluluskan berjumlah RM7.9 bilion meliputi 17 projek, lonjakan 418.2% berbanding setahun lepas, dipacu sepenuhnya oleh projek minyak dan gas yang melibatkan aktiviti cari gali dan pembangunan luar pesisir, terutama di Sarawak.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga

Tinjauan positif

Tinjauan pelaburan di Malaysia kekal berdaya tahan, disokong oleh perancangan pelaburan berkualiti yang kukuh apabila setakat 5 Mei lepas, pihaknya sedang memudah cara perancangan bagi 182 projek berpotensi yang secara terkumpul bernilai RM38.3 bilion. Mida juga sedang berbincang secara aktif untuk menambah pelaburan berpotensi bernilai RM91 bilion sekali gus menunjukkan minat dan keyakinan pelabur yang berterusan terhadap hala tuju ekonomi jangka panjang dan dasar mesra perniagaan Malaysia.

Ketua Pegawai Eksekutif Mida Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata, prestasi pelaburan di Malaysia mencerminkan keupayaan negara dalam memudah cara dan pelaksanaan projek. “Di sebalik ketidaktentuan global yang berterusan, Malaysia kekal teguh dalam radar pelabur, disokong oleh dasar yang jelas, asas ekonomi yang kukuh dan keupayaan kita untuk menggerakkan projek daripada peringkat kelulusan sehingga pelaksanaan operasi,” katanya. “Indeks Pembuatan Asia 2026 meletakkan Malaysia di kedudukan kedua di Asia selepas China, kedudukan tertinggi negara dalam indeks itu setakat ini dan seiring dengan pencapaian di lapangan iaitu daripada projek pembuatan yang diluluskan sejak 2021, sebanyak 85% telah mencapai pelbagai peringkat pelaksanaan setakat Februari 2026.”