NEAC teliti cadangan MPMA berhubung tekanan kos dan daya saing
Majlis Tindakan Ekonomi Negara (NEAC) telah mengambil maklum beberapa cadangan yang dikemukakan oleh Persatuan Pengilang Plastik Malaysia (MPMA) dan memutuskan supaya Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) serta Kementerian Ekonomi meneliti cadangan tersebut.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata kerajaan memandang serius isu cabaran yang dihadapi oleh industri plastik berikutan tekanan rantaian bekalan global dan kenaikan kos bahan mentah.
Mesyuarat NEAC telah mendengar pembentangan daripada MPMA yang mengemukakan pandangan mengenai beberapa isu struktur kos dan daya saing yang dihadapi oleh pengilang hiliran, termasuk perbezaan kos bahan mentah berbanding negara pesaing.
Kepentingan rantaian industri dan daya saing jangka panjang
“Ini untuk mengambil kira kepentingan keseluruhan rantaian industri, keseimbangan fiskal dan daya saing ekonomi negara dalam jangka panjang,” kata Akmal Nasrullah dalam taklimat Krisis Bekalan Global di halaman Facebook kementerian hari ini.
Beliau berkata industri plastik merupakan industri sokongan kepada banyak sektor dan pada tahun 2025 nilai jualannya berjumlah RM62.69 bilion, berbanding RM64.78 bilion pada tahun 2024.
“Pembungkusan mewakili 45 peratus pasaran, manakala elektrik dan elektronik mewakili 29 peratus,” katanya.
Pelaksanaan EPR secara sukarela turut dikaji
Beliau juga berkata cadangan pelaksanaan Tanggungjawab Pengeluar Lanjutan (EPR) secara sukarela akan turut dikaji bersama implikasi kos, kapasiti perusahaan kecil dan sederhana serta kesediaan infrastruktur kitar semula.
Jika dilaksanakan dengan baik, ekonomi kitaran boleh meningkatkan penggunaan bahan kitar semula, mengurangkan kebergantungan kepada bahan mentah dan membina sumber bekalan domestik yang lebih berdaya tahan terhadap kejutan geopolitik, katanya.
Keyakinan sasaran pertumbuhan ekonomi 2026
Sementara itu, beliau berkata kerajaan yakin momentum pertumbuhan ekonomi negara dapat dikekalkan dan sasaran pertumbuhan 4.0 hingga 5.0 peratus bagi tahun ini dapat dicapai berdasarkan prestasi semasa.
Beliau berkata indikator ekonomi bagi separuh pertama tahun ini menunjukkan asas ekonomi negara kekal kukuh dan berdaya tahan.
“Ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 5.4 peratus pada suku pertama 2026, disokong oleh permintaan domestik, sektor perkhidmatan dan pembuatan, serta eksport elektrik dan elektronik yang kekal berdaya tahan.
“Anggaran awal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi suku kedua 2026 akan diumumkan pada 17 Julai, manakala angka rasmi akan diterbitkan pada 14 Ogos 2026,” katanya.
Inflasi terkawal dan prestasi perdagangan kukuh
“Inflasi pada Mei 2026 kekal terkawal pada 2.0 peratus, berbanding 1.9 peratus pada April, manakala prestasi perdagangan juga meningkat sebanyak 18.3 peratus kepada hampir RM1.5 trilion dari Januari hingga Mei 2026.
“Eksport berkembang sebanyak 24.3 peratus kepada RM793.8 bilion, import meningkat 11.8 peratus kepada RM661.1 bilion dan lebihan dagangan berjumlah RM132.8 bilion,” tambahnya. — Bernama



