KUALA LUMPUR: IJM Corporation Bhd mencatatkan keuntungan bersih lebih rendah kepada RM3.24 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2026 (FY2026) berbanding RM403.37 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya.
Prestasi kewangan suku keempat
Bagi suku keempat, IJM Corp mencatatkan kerugian bersih RM173.9 juta berbanding keuntungan bersih RM128.96 juta pada suku sama tahun lalu, manakala hasil meningkat 4.2 peratus kepada RM1.9 bilion daripada RM1.8 bilion sebelumnya.
Kumpulan itu berkata dalam pemfailan dengan Bursa Malaysia hari ini bahawa hasil meningkat 10 peratus kepada RM6.88 bilion daripada RM6.25 bilion pada FY2025, disokong terutamanya oleh sumbangan lebih tinggi daripada bahagian pembinaan, pembuatan dan kuari.
Faktor tekanan keuntungan
Kumpulan itu berkata prestasi lemah ini disebabkan oleh kerugian pertukaran asing bersih RM94.7 juta pada 4Q FY2026 (4Q FY2025: keuntungan RM31.2 juta) dan RM197.9 juta untuk FY2026 (FY2025: kerugian RM42.1 juta); pengiktirafan rosot nilai inventori tidak terjual RM121.6 juta, termasuk bangunan pejabat di Changchun, China; peruntukan kos penyelenggaraan lebuh raya di India RM51.0 juta; dan prestasi lemah daripada bahagian hartanah dan pelabuhan.
Dividen diumumkan
Syarikat telah mengisytiharkan dividen kedua interim satu peringkat lima sen sesaham dan dividen khas satu sen sesaham bagi FY2026. Kedua-dua dividen akan dibayar pada 24 Julai 2026 kepada pemegang saham berdaftar pada 30 Jun 2026.
Prospek perniagaan
Sementara itu, syarikat menjangkakan bahagian pembinaannya akan menunjukkan prestasi lebih kukuh pada tahun kewangan baharu, disokong oleh buku pesanan kukuh bernilai RM14.7 bilion, termasuk pesanan tertunggak daripada usaha sama dan syarikat bersekutu.
Bagaimanapun, ia berkata pasaran hartanah Malaysia menunjukkan tanda awal kelembapan, didorong oleh sentimen pengguna yang lemah.
“Namun begitu, bahagian hartanah tetap komited untuk memacu jualan projek sedia ada dengan mengguna pakai strategi pasaran responsif dan meningkatkan pembezaan produk bagi memenuhi jangkaan pembeli yang berubah dan had kemampuan untuk mencapai prestasi lebih baik pada tahun kewangan baharu. Pendapatan akan dipertingkatkan lagi melalui penjualan plot tanah.
“Bahagian industri dijangka meneruskan prestasi kukuh yang dicapai dalam beberapa tahun kewangan lalu, memandangkan buku pesanan kukuh yang dimiliki dan jangkaan kesinambungan projek pusat data, bangunan perindustrian berskala besar dan kerja infrastruktur,” katanya.
Bahagian tol dijangka terus menyediakan aliran hasil stabil kepada kumpulan melalui konsesi matangnya, manakala perniagaan pelabuhan menjangkakan prospek bercampur disokong oleh pemulihan beransur-ansur aktiviti perniagaan oleh pelanggan utama, tetapi tetap berhati-hati terhadap kesan gangguan perdagangan global akibat ketegangan geopolitik.
Selain daripada pandangan makroekonomi tidak menentu akibat ketegangan geopolitik, kumpulan itu berkata ia yakin dapat memberikan prestasi operasi yang lebih baik pada tahun kewangan baharu. — Bernama



