KUALA LUMPUR, 26 Mei — Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini, tertekan oleh perkembangan luaran berikutan laporan serangan AS dan Israel ke atas kapal Iran di Selat Hormuz, yang menjejaskan sentimen pasaran serantau.
Pada jam 6 petang, ringgit menyusut kepada 3.9660/9705 berbanding dolar AS daripada penutupan semalam pada 3.9510/9550.
Menurut laporan berita, serangan itu mengakibatkan beberapa korban dalam kalangan rakyat Iran.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid memberitahu Bernama bahawa perkembangan sedemikian menunjukkan usaha rundingan damai yang berterusan akan menjadi sia-sia, berisiko menyebabkan konflik ketenteraan yang berpanjangan di Asia Barat.
Pada masa penulisan, minyak mentah Brent didagangkan lebih tinggi sebanyak 2.80 peratus kepada AS$98.83 setong.
“Ia seperti situasi berulang dan membawa kepada ketidaktentuan pasaran yang lebih tinggi.
“Sementara itu, tekanan inflasi yang semakin meningkat berikutan kejutan minyak berkemungkinan membentuk kadar inflasi global dan, oleh itu, sentimen berhati-hati dalam kalangan pedagang akan mengehadkan kenaikan ringgit dalam jangka pendek,” kata Mohd Afzanizam.
Namun demikian, beliau berkata ringgit kekal agak berdaya tahan pada asas tahun setakat ini, berada di kedudukan mata wang kedua terbaik di rantau ini walaupun terdapat turun naik baru-baru ini.
Beliau juga berkata rupiah Indonesia dan rupee India kini berada di bawah tekanan yang lebih besar disebabkan oleh kedudukan defisit berkembar mereka, menjadikan kedua-dua ekonomi lebih terdedah kepada kejutan harga minyak.
Pada penutup, ringgit juga didagangkan lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia lemah berbanding yen Jepun kepada 2.4917/4947 daripada 2.4860/4887 pada penutupan semalam, susut berbanding euro kepada 4.6172/6225 daripada 4.5998/6044 semalam, dan merosot berbanding pound British kepada 5.3470/3530 daripada 5.3311/3365 sebelumnya.
Mata wang tempatan kebanyakannya rendah berbanding rakan serantau kecuali baht Thailand, meningkat kepada 12.1485/1675 daripada 12.1640/1816 pada penutupan semalam.
Ringgit rendah berbanding dolar Singapura kepada 3.1038/1075 daripada 3.0932/0966 semalam, susut sedikit berbanding peso Filipina kepada 6.44/6.45 daripada 6.43/6.44, dan lebih rendah berbanding rupiah Indonesia kepada 222.8/223.2 daripada 222.6/223 semalam.
Pasaran akan ditutup esok sempena cuti umum Hari Raya Aidiladha. — Bernama



