Pendaki Hilang Jaslinda Saludin Selamat Selepas 14 Hari
IPOH, 7 Jun — Pendaki wanita Jaslinda Saludin, 49, yang ditemui selamat setelah hilang selama 14 hari semasa mendaki Gunung Batu Putih berhampiran Tapah, menceritakan bagaimana dia bertahan di dalam hutan tanpa membawa sebarang makanan dan air.
Dia berkongsi bagaimana dia mendapatkan air daripada sumber semula jadi di hutan, termasuk air daripada periuk kera, untuk memastikan kelangsungan hidupnya sepanjang dua minggu itu.
“Saya tiada makanan, saya tidak makan selama dua minggu. Saya minum air… air gelap, air coklat, air dari periuk kera. Jadi marilah kita semua bersyukur kerana masih hidup,” katanya dalam video pendek 32 saat yang dikongsikan di media sosial.
Jaslinda ditemui oleh penduduk Orang Asli, Nazri a/l Bah Eng, berhampiran Kampung Lubuk Gaharu, Pos Musoh, Tapah, kira-kira jam 5 petang dan dibawa ke Hospital Tapah untuk rawatan.
Dalam video lain, Jaslinda berkongsi bagaimana dia berulang kali jatuh dan berjuang untuk bertahan setiap hari di hutan selepas dia hilang pada 24 Mei.



