KUALA LUMPUR: Sebanyak 14 kawasan di Semenanjung Malaysia, dua di Sabah, dan satu di Sarawak mencatatkan cuaca panas tahap satu yang diklasifikasikan dalam kategori waspada setakat jam 6 pagi ini.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan kawasan yang terjejas termasuk Perlis; Kubang Pasu, Pendang, Kota Setar, dan Padang Terap di Kedah; Kuala Kangsar serta Hulu Perak di Perak; Jeli, Pasir Mas, Tanah Merah, dan Machang di Kelantan; Kuala Lumpur; serta Gombak dan Sepang di Selangor.
Turut terjejas ialah Beaufort dan Telupid di Sabah, serta Limbang di Sarawak.
Menurut jabatan itu, status tahap satu dikeluarkan apabila suhu maksimum harian mencapai antara 35 hingga 37 darjah Celsius selama sekurang-kurangnya tiga hari berturut-turut.



