PUTRAJAYA, 7 Mei — Malaysia dan India komited untuk memperkukuh kerjasama dua hala dalam pemuliharaan biodiversiti, unsur nadir bumi (REE), dan teknologi hijau menerusi pelbagai inisiatif strategik yang dibincangkan semasa kunjungan hormat delegasi India ke Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).
Delegasi India yang diketuai oleh Pesuruhjaya Tinggi India ke Malaysia B. N. Reddy telah dihoskan oleh Timbalan Menteri NRES, Syed Ibrahim Syed Noh.
NRES dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa antara perkara utama yang dibincangkan adalah penyertaan aktif Malaysia sebagai ahli pengasas International Big Cat Alliance (IBCA).
Menurut kementerian itu, komitmen antarabangsa ini sejajar dengan kejayaan domestik Malaysia dalam mencapai kadar penyempurnaan 100 peratus bagi Petunjuk Prestasi Utama (KPI) 100 Hari Menteri dalam penguatkuasaan biodiversiti.
“Menerusi Khazanah Integrated Operations (OBK), Malaysia telah menunjukkan komitmen teguh dalam melindungi hidupan liar, dengan nilai rampasan sebanyak RM413.1 juta direkodkan sejak 2019. Malaysia dijadualkan menyertai Sidang Kemuncak IBCA Pertama di New Delhi pada 1 Jun 2026 untuk memuktamadkan Deklarasi Delhi mengenai pemuliharaan spesies kucing besar, termasuk harimau Malaya,” katanya.
Dalam sektor sumber asli, NRES berkata Malaysia juga telah menyatakan minat untuk meneroka kerjasama strategik dalam industri REE dengan Indian Rare Earths Limited (IREL).
Malaysia berharap dapat mempelajari model operasi dan teknologi pemprosesan pertengahan India bagi memastikan industri REE negara dapat menjana nilai tambah tinggi secara mampan.
“Kerjasama ini dijangka merangkumi aspek pemindahan teknologi dan pembangunan kepakaran tempatan,” kata kementerian itu.
Selain itu, NRES memaklumkan Malaysia turut menjemput delegasi India untuk memanfaatkan platform Pameran dan Persidangan Teknologi Hijau & Produk Eko Antarabangsa Malaysia (IGEM), yang dijadual berlangsung dari 7 hingga 9 Oktober tahun ini.
“Sebagai hab teknologi hijau terbesar di Asia Tenggara, IGEM adalah platform terbaik untuk kedua-dua negara memacu pelaburan dalam ekonomi kitaran dan penyelesaian rendah karbon,” katanya.
Menurut NRES, pertemuan itu juga menyentuh persiapan kerjasama dengan National Biodiversity Authority berhubung rangka kerja Akses dan Perkongsian Faedah (ABS), serta perkembangan berkaitan Rang Undang-Undang Perubahan Iklim Negara yang dijangka dibentangkan di Parlimen pada Jun ini.
NRES berkata Malaysia dan India kekal komited untuk memastikan rantaian bekalan mineral yang berdaya tahan dan usaha pemuliharaan alam sekitar yang inklusif demi kemakmuran bersama di rantau ini. — Bernama



