PARIS, 13 Mei — Gergasi kenderaan elektrik (EV) China, BYD, dilaporkan sedang berbincang dengan pengeluar kereta Stellantis dan beberapa syarikat lain untuk mengambil alih kilang mereka di Eropah sebagai sebahagian daripada rancangan pengembangan antarabangsa.
Menurut laporan Bloomberg News hari ini, perbincangan itu berlaku beberapa minggu selepas Stellantis mengejutkan pelabur dengan penulisan semula nilai (write-down) sebanyak 22 bilion euro pada operasi EVnya, sambil menyatakan bahawa mereka telah terlebih anggar permintaan untuk kereta tenaga bersih.
“Kami sedang bercakap dengan bukan sahaja Stellantis, tetapi juga syarikat lain,” kata Stella Li, naib presiden BYD yang bertanggungjawab ke atas operasi antarabangsa, di sela-sela persidangan auto di London.
“Kami sedang mencari mana-mana kilang yang tersedia di Eropah kerana kami mahu memanfaatkan kapasiti terbiar seperti ini,” katanya.
BYD tahun lalu menjadi penjual EV terbesar dunia, tetapi pendapatannya merosot akibat permintaan domestik yang lemah, mendorong syarikat itu mencari pasaran yang lebih besar di luar negara.
Stellantis minggu lalu mengumumkan bahawa mereka sedang mempertimbangkan untuk menjual sebuah kilang yang kurang digunakan di Sepanyol kepada rakan kongsi usaha sama China, Leapmotor.
Stellantis, kumpulan Perancis-Itali yang jenamanya termasuk Peugeot dan Fiat, tidak memberi komen segera apabila ditanya mengenai laporan itu oleh AFP.
Pasaran kereta Eropah belum pulih sepenuhnya daripada kemerosotan pandemik Covid dan kilang mereka beroperasi secara purata hanya pada separuh kapasiti.
Mereka juga berdepan dengan serangan daripada pengeluar kereta China, yang kepakaran teknikal yang pesat maju dan kos pengeluaran rendah menimbulkan risiko besar kepada pesaing global.
Li juga berkata BYD sedang mempertimbangkan untuk membeli jenama warisan di Eropah yang bergelut, dengan menyebut jenama mewah Stellantis, Maserati, sebagai “sangat menarik”. — AFP



