Tiga Maut, Seorang Cedera Parah Selepas Volkswagen Rempuh Lori Simen di Karak
Tiga Maut Selepas Volkswagen Rempuh Lori Simen di Karak

KUALA LUMPUR, 22 Mei — Tiga lelaki maut manakala seorang wanita cedera parah selepas kenderaan yang mereka naiki merempuh bahagian belakang sebuah lori simen di Kilometer 34 Lebuhraya Karak menghala ke ibu negara, berhampiran Kampung Sungai Chinchin, awal pagi tadi.

Mangsa Terperangkap dalam Kenderaan

Pengarah Operasi Bantuan Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Ahmad Mukhlis Mokhtar, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada pukul 2.07 pagi.

Beliau berkata satu pasukan yang terdiri daripada enam pegawai dan anggota, bersama sebuah jentera bomba dan unit Perkhidmatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dari Balai Bomba dan Penyelamat Selayang, segera dikejarkan ke lokasi kejadian.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

"Setibanya di lokasi pada pukul 2.35 pagi, pasukan bomba mendapati empat mangsa terperangkap di dalam sebuah kenderaan Volkswagen dan operasi mengeluarkan semua mangsa segera dijalankan.

"Tiga mangsa lelaki yang berusia lingkungan 20-an disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM), manakala seorang wanita berusia 27 tahun mengalami kecederaan parah di kepala dan patah kaki kiri," katanya dalam satu kenyataan.

Tindakan Lanjut

Ahmad Mukhlis berkata mangsa yang cedera telah diserahkan kepada KKM untuk rawatan lanjut, manakala mayat tiga mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga