KATHMANDU – Elite Expeditions, syarikat pendakian yang diasaskan oleh Nirmal Purja, mengesahkan kematian pendaki Britain-Nepal itu dalam satu kenyataan di media sosial pada Sabtu. “Dengan perasaan sedih yang amat dalam dan pilu, kami mengesahkan bahawa Nirmal Purja kehilangan nyawa secara tragis berikutan runtuhan salji di Broad Peak,” kata syarikat itu. “Kami juga menerima pengesahan bahawa ahli ekspedisi lain yang lain turut tidak terselamat.”
Purja, 43, sebelum ini berkhidmat dengan Briged Gurkha Britain dan kemudiannya Skuadron Bot Khas (Special Boat Squadron) Rejimen Marin Diraja Britain sebelum menjadi pendaki dan pemandu gunung sepenuh masa. Beliau terkenal dengan kejayaan menawan kesemua 14 puncak tertinggi dunia dalam tempoh lebih enam bulan pada 2019, sekali gus memecahkan rekod sebelumnya selama tujuh tahun.
Rekod 14 puncak tertinggi dunia
Kejayaan Purja itu dianggap sebagai pencapaian luar biasa dalam dunia pendakian. Beliau membuat sejarah pada 2021 apabila mengetuai pasukan sembilan pendaki Nepal untuk pendakian musim sejuk pertama K2, gunung kedua tertinggi di dunia yang terkenal dengan bahaya maut. Sebelum ekspedisi terakhirnya, Purja menulis di platform X bahawa beliau hampir menjadi orang pertama yang mendaki kesemua 14 “super peak” dua kali tanpa oksigen tambahan.
“Broad Peak, aku tidak meminta apa-apa kecuali laluan selamat naik dan turun,” tulisnya. “Tujuanku tidak pernah tentang diriku. Ia tentang apa yang aku wakili. Ia tentang menunjukkan kepada ANDA bahawa gunung kamu sendiri – apa sahaja ia – boleh didaki.”
Broad Peak, yang terletak di banjaran Karakoram di utara Pakistan, adalah gunung kedua belas tertinggi di dunia dan dianggap sebagai salah satu pendakian paling sukar dan teknikal dalam kalangan puncak melebihi 8,000 meter.
Dari Gurkha ke pasukan khas
Dilahirkan di sebuah kampung di barat Nepal, Purja menyertai Gurkha – briged askar Nepal dalam tentera Britain yang terkenal dengan keberanian mereka – pada usia remaja. Beliau kemudiannya berkhidmat dalam pasukan khas elit sebagai pakar peperangan cuaca sejuk melampau. Dalam temu bual dengan AFP pada 2019, Purja pernah berkata bahawa sepasang selipar adalah kemewahan bagi dirinya semasa kecil.
Kecintaannya terhadap pendakian gunung bermula pada 2012 ketika menyertai trek ke pangkalan Everest dan berjaya menawan puncak Lobuche setinggi 6,119 meter. Beliau mendaki puncak “8000-an” pertamanya pada 2014. Dua tahun kemudian, selepas cuti daripada penempatan di Afghanistan bertepatan dengan musim pendakian, beliau membuat pendakian pertama Everest.
“Jika anda dari Nepal, semua orang bertanya tentang Everest. Jadi saya menggunakan cuti saya untuk mendaki gunung,” katanya kepada AFP ketika itu.
MBE dan kerjaya pendakian
Pada 2017, Purja kembali ke Everest dan mengetuai ekspedisi pendakian Gurkha yang berjaya. Atas jasanya dalam pendakian altitud tinggi, beliau dianugerahkan Ahli Darjah Empayar Britain (MBE). Selepas 16 tahun berkhidmat dalam tentera, Purja meninggalkan kerjaya ketenteraannya dan menggadai semula rumahnya untuk membiayai misi menawan 14 puncak tertinggi dunia.
Selepas memecahkan rekod, Purja membuka syarikat ekspedisi gunung yang membawa pendaki ke puncak-puncak tertinggi dunia setiap musim. Dokumentari Netflix pada 2021 tentang kejayaannya memberikannya pengiktirafan global dan menjadikannya pemandu yang sangat dicari.
Kritikan dan cabaran
Namun, kejayaan Purja tidak terlepas daripada kritikan. Beliau ditegur kerana menggunakan pemandu, oksigen tambahan, tali tetap dan helikopter untuk bergerak antara pangkalan. Pada 2024, dua pendaki wanita menuduhnya melakukan gangguan dan serangan seksual, yang dinafikan sekeras-kerasnya oleh Purja.
Walaupun begitu, ramai menganggap Purja sebagai inspirasi kepada generasi baharu pendaki Nepal. Beliau sering menekankan peranan pendaki Nepal, yang biasanya etnik Sherpa dari lembah sekitar Everest, sebagai tulang belakang industri pendakian gunung yang menguntungkan di Nepal, namun sering tidak mendapat pengiktirafan setimpal seperti pendaki antarabangsa.
Legasi kemanusiaan
Melalui yayasannya, Purja membiayai pendidikan dan pembersihan gunung. Beliau juga membina rumah untuk porter di laluan Everest bagi menyediakan tempat tinggal yang selamat untuk mereka. Dalam temu bual 2019, Purja berharap kejayaannya akan memberi inspirasi kepada pendaki Nepal untuk memecahkan rekodnya.
“Sebagai orang Nepal, saya berharap pendakian saya meletakkan tumpuan kepada pendaki berbakat di sini,” katanya. Beliau juga pernah berkata: “Sentiasa ada sempadan baharu. Itulah manusia, itulah yang kita lakukan.”



