IPOH, 17 Mei — Operasi mencari dan menyelamat (SAR) bagi mangsa kejadian bot karam yang membawa migran Indonesia di perairan Pulau Pangkor pada 11 Mei telah ditamatkan secara rasmi semalam selepas enam hari.
Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Perak dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan bahawa operasi tersebut berakhir pada pukul 7 malam selepas tiada penemuan baharu di kawasan carian.
Setakat ini, seramai 39 mangsa telah ditemui, melibatkan 23 orang terselamat manakala 16 lagi disahkan meninggal dunia.
“Maklumat awal yang diperoleh pada hari pertama operasi menyatakan jumlah mangsa adalah 37 orang, namun angka tersebut dipercayai tidak tepat,” kata kenyataan itu.
Mangsa yang meninggal dunia terdiri daripada sembilan lelaki dan tujuh wanita, yang mayatnya dihantar ke Hospital Taiping dan Hospital Teluk Intan untuk bedah siasat dan proses pengecaman.
Selain APMM, operasi ini turut melibatkan kerjasama daripada pelbagai agensi keselamatan termasuk Tentera Laut Diraja Malaysia, Polis Marin, serta komuniti nelayan di perairan sekitar.
Kejadian berlaku pada 11 Mei dan membabitkan sebuah bot yang dipercayai membawa migran Indonesia yang karam kira-kira 8.2 batu nautika dari Pulau Pangkor dalam perjalanan ke beberapa destinasi di Malaysia. — Bernama



