LONDON, 6 Mei — Mahkamah Rayuan London hari ini memutuskan bahawa BHP tidak boleh merayu terhadap keputusan mahkamah rendah yang mendapati syarikat perlombongan itu bertanggungjawab atas keruntuhan empangan di tenggara Brazil pada 2015.
Pada November lalu, Mahkamah Tinggi London memutuskan BHP bertanggungjawab secara undang-undang atas keruntuhan Empangan Fundao di Mariana, tenggara Brazil. Empangan itu dimiliki dan dikendalikan oleh Samarco, sebuah usaha sama antara BHP yang berpusat di Australia dan syarikat Brazil, Vale.
Bencana alam paling buruk di Brazil itu melepaskan gelombang lumpur toksik yang membunuh 19 orang, meninggalkan ribuan kehilangan tempat tinggal, membanjiri hutan, dan mencemarkan sepanjang Sungai Doce.
Tahun lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan BHP bertanggungjawab di bawah undang-undang Brazil atas keruntuhan empangan tersebut. Permohonan BHP untuk kebenaran merayu keputusan itu ditolak pada Januari oleh Mahkamah Tinggi.
BHP kemudian memohon terus kepada Mahkamah Rayuan, dengan alasan hakim perbicaraan gagal mempertimbangkan hujah syarikat itu. Namun, Mahkamah Rayuan hari ini menolak permohonan tersebut, dengan menyatakan dalam keputusan bertulis bahawa terdapat “bukti yang mencukupi” untuk menyokong dapatan Mahkamah Tinggi.
Peringkat awal kes ini adalah untuk menentukan sama ada BHP bertanggungjawab kepada pihak yang menuntut. Perbicaraan selanjutnya untuk memutuskan sebarang ganti rugi yang perlu dibayar dijangka bermula pada April 2027.



