Bayi maut dalam nahas, pemandu lori positif dadah
Bayi maut nahas, pemandu lori positif dadah

PETALING JAYA: Seorang bayi lelaki berusia lima bulan maut awal pagi tadi dalam nahas di Baling, Kedah, melibatkan sebuah kereta dan sebuah lori yang dipandu oleh seorang lelaki dipercayai di bawah pengaruh dadah.

Ketua Polis Daerah Baling, Brandon Richard Joe berkata, pihak polis menerima panggilan pada jam 12.20 pagi daripada kakitangan Hospital Baling memaklumkan bahawa bayi tersebut meninggal dunia semasa menerima rawatan di wad kecemasan.

Beliau berkata, kejadian berlaku di persimpangan berhampiran Kampung Sadek di Jalan Baru Kulim.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Nahas melibatkan sebuah kereta dipandu oleh seorang lelaki berusia 27 tahun bersama isterinya yang berusia 41 tahun dan bayi mereka, dalam perjalanan dari Gerik ke Kupang, dan sebuah lori dipandu oleh seorang lelaki berusia 43 tahun yang bergerak ke arah sama dari Kelantan ke Pulau Pinang,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.

Semua yang terlibat mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Baling untuk rawatan. Mayat bayi tersebut dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar untuk bedah siasat.

Brandon berkata, pemandu lori telah ditahan bagi siasatan lanjut selepas ujian air kencingnya positif dadah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana menyebabkan kematian akibat memandu di bawah pengaruh, yang memperuntukkan hukuman penjara 10 hingga 15 tahun dan denda RM50,000 hingga RM100,000.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga