Seorang anggota polis meninggal dunia selepas rebah ketika menjalani latihan perbarisan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, semalam.
Koperal Khairil Idzhar Rodzi, 36, yang bertugas di Balai Polis Dato' Abu Bakar Baginda, disahkan meninggal dunia di IPD, manakala punca kematian masih belum dapat dipastikan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis Selangor (Perkep), Datin Rozana Kasbon, menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.
“Allahyarham meninggal dunia pada usia 36 tahun, setelah berkhidmat dalam Pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selama 17 tahun.
“Pemergian Koperal 171014 Khairil Idzhar merupakan satu kehilangan besar kepada kontinjen polis Selangor. Salam takziah,” kata Shazeli dalam kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi Polis Selangor.
Laporan media menyatakan bahawa Khairil Idzhar rebah ketika menjalani latihan perbarisan dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan dari Kementerian Kesihatan.
Setakat ini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh IPD Sepang mengenai punca kematian. — Bernama



