Faktor ekonomi penentu undi Cina di Johor pada PRN 2026
Faktor ekonomi penentu undi Cina di Johor

Kira-kira 36% pengundi Cina daripada keseluruhan 2.7 juta pengundi di Johor dijangka menyokong Pakatan Harapan (PH) pada PRN Sabtu ini, dengan isu ekonomi menjadi faktor penentu utama. Seorang ahli perniagaan yang ingin dikenali sebagai William berkata, ekonomi berada di landasan betul dan mengaitkan pencapaian itu kepada kerajaan perpaduan diterajui PH. “Anwar (Ibrahim) membawa lebih banyak pelaburan ke Johor,” katanya kepada FMT merujuk perdana menteri. “Apabila lebih banyak kilang dibuka, akan ada lebih banyak peluang pekerjaan. Ini bagus untuk kami,” katanya sambil menambah banyak syarikat asing menubuhkan kilang di Skudai.

Pelaburan RM110 bilion catatan tertinggi

Mac lalu, Johor dilaporkan mencatat pelaburan diluluskan berjumlah RM110 bilion pada 2025, tertinggi berbanding semua negeri. Seorang lagi pengundi yang ingin dikenali sebagai John berkata, beliau akan menyokong PH pada Sabtu ini dan berharap gabungan itu akan lebih berusaha dalam membantu ibu bapa menangani kos pendidikan semakin meningkat. Lelaki berusia 65 tahun itu mempunyai seorang anak yang sedang belajar di Kuala Lumpur dan seorang lagi anak mengikuti pengajian undang-undang di Johor. “Saya harap kerajaan dapat menyediakan lebih banyak bantuan untuk membantu ibu bapa membayar yuran kolej,” katanya.

Masa tidak sesuai untuk PRN

Seorang ahli perniagaan yang mahu dikenali sebagai Lee berkata, PRN mengejut itu diadakan pada masa tidak sesuai susulan perang di Iran. Jelasnya, perniagaan berwaspada terhadap kesan konflik di Timur Tengah kerana perang itu menyebabkan lonjakan harga tenaga yang membawa kepada kenaikan kos barangan serta perkhidmatan bagi pengguna. “Mereka sepatutnya tunggu sehingga kuasa membeli rakyat kembali pulih kerana perusahaan kecil dan sederhana memerlukan lebih banyak kestabilan (selepas kesan perang).”

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Persaingan sengit ramai calon

Beberapa pengundi yang ditemui FMT turut mengadu mengenai saingan sengit dalam PRN Johor kali ini. Selain PH dan Barisan Nasional (BN) yang bertanding di semua 56 kerusi, calon Perikatan Nasional, Muda, Bersama dan bebas akan berentap pada Sabtu ini. Mereka berkata, ia menyukarkan mereka untuk memilih siapa yang layak mendapat undi. Seorang peguam bersara yang enggan dinamakan berkata, beliau keliru kerana banyak parti bertanding dalam PRN Johor Sabtu ini. “Tidak cukup masa untuk memahami semua calon,” katanya sambil menambah beliau masih tidak mengenali Bersama, parti yang diketuai bekas menteri ekonomi, Rafizi Ramli.

Peniaga mahu calon dengar masalah

Peniaga pasar, Alan Tan, 54, berkata beliau mahu calon meluangkan lebih banyak masa mendengar masalah peniaga, bukannya sekadar singgah sebentar untuk ketika berkempen. “Saya tidak akan mengundi (dalam PRN kali ini).”

Pengundi Melayu berusia masih sokong BN

Bagi ramai pengundi Melayu berusia, sokongan terhadap BN hampir tidak berubah. Hassan Che Mat, pesara tentera laut berkata, beliau mengundi BN sebelum ini kerana keharmonian lebih penting daripada politik. Bekas penjawat awam, Senian Ahmad, 71, berkata BN patut terus membangunkan Johor sambil menangani masalah banjir dan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan untuk anak muda.

Pengundi muda mahukan perubahan

Seorang pelajar berusia 19 tahun yang mahu dikenali sebagai Alia berkata, pengundi muda memfokuskan isu lain. “Orang Melayu lebih tua mungkin mahukan kestabilan dan kemajuan, tetapi orang muda mahukan sesuatu yang segar,” katanya merujuk isu iklim, kesan pusat data dan kelestarian sebagai topik yang menarik minat pengundi muda. Seorang lagi pengundi 19 tahun yang mahu dikenali sebagai Fatin berkata, beliau akan mengundi Bersama di Kempas. “Saya ingin tahu apa yang ditawarkan parti baharu lebih kecil. Mari kita uji mereka.”

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga