KUALA LUMPUR, 9 Julai — Kabinet semalam bersetuju dengan pindaan yang dicadangkan oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026 untuk memperkukuhkan peranan Parlimen dalam proses semakan dan cadangan pelantikan Pendakwa Raya.
Pindaan Perjelas Pemisahan Fungsi Peguam Negara dan Pendakwa Raya
Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) Jabatan Perdana Menteri (JPM) dalam satu kenyataan semalam berkata, agenda reformasi institusi Kerajaan Madani di bawah pindaan itu bertujuan menjelaskan pemisahan fungsi antara Peguam Negara sebagai penasihat undang-undang kepada Yang di-Pertuan Agong, Kabinet atau mana-mana Menteri, dan Pendakwa Raya sebagai pihak yang menjalankan kuasa pendakwaan.
“Rang Undang-Undang ini dibacakan kali pertama di Dewan Rakyat pada 23 Februari 2026, dan pada 3 Mac 2026, Dewan Rakyat meluluskan usul supaya Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No. 2) 2026 dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Pindaan Perlembagaan Berkaitan Pemisahan Peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya di bawah Peraturan Mesyuarat 54(2) dan Peraturan Mesyuarat 81(1) Dewan Rakyat,” kata kenyataan itu.
Jawatankuasa 11 Ahli Parlimen Adakan Tujuh Mesyuarat
Jawatankuasa yang terdiri daripada 11 Ahli Parlimen daripada Kerajaan dan Pembangkang itu telah mengadakan tujuh mesyuarat untuk meneliti Rang Undang-Undang tersebut, termasuk menetapkan bidang kuasa dan memeriksa parameter bagi perbincangan pindaan draf di peringkat Jawatankuasa.
BHEUU berkata Laporan Jawatankuasa, termasuk pindaan baharu yang dicadangkan, telah dibentangkan di Dewan Rakyat pada 22 Jun.
“Selepas mempertimbangkan pelbagai pandangan daripada pihak berkepentingan, termasuk Ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang, pakar undang-undang dan pertubuhan masyarakat sivil, Kerajaan Madani bersetuju meminda Fasal (18) Perkara 145A Rang Undang-Undang untuk mengukuhkan keseimbangan antara kebebasan Pendakwa Raya dan akauntabiliti institusi,” kata BHEUU.
Pindaan Fasal (18) Perkara 145A Perkukuh Proses Pelantikan
Pindaan kepada Fasal (18) Perkara 145A itu mengambil kira cadangan supaya nama calon dikemukakan kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat untuk dibentangkan di hadapan Dewan.
Menurut kenyataan itu, selepas calon diteliti oleh Jawatankuasa Pilihan Khas, Dewan Rakyat akan membuat cadangan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan (SPKP).
“SPKP kemudiannya akan menasihati Yang di-Pertuan Agong mengenai pelantikan Pendakwa Raya berdasarkan cadangan Jawatankuasa Pilihan Khas. Pindaan itu akan dibentangkan pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-15 pada 13 Julai untuk perbahasan,” menurut kenyataan itu.
Reformasi Undang-Undang Tingkat Keyakinan Rakyat
Menurut kenyataan itu, reformasi undang-undang ini adalah langkah penting untuk memastikan keadilan ditadbir secara bebas, telus dan berintegriti, sambil mencerminkan komitmen Malaysia untuk membina sistem pendakwaan yang dipercayai rakyat dan selaras dengan piawaian terbaik dunia.
“BHEUU, JPM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), anggota Kabinet, serta Peguam Negara dan pasukannya atas sokongan, pandangan dan cadangan dalam memperkukuhkan pindaan Rang Undang-Undang ini,” kata kenyataan itu. — Bernama



