PUTRAJAYA, 27 April — Necmeddin Bilal Erdogan dari Turkiye menyeru negara-negara Muslim supaya belajar daripada sektor kewangan Islam Malaysia untuk membina sistem kewangan yang tidak bergantung kepada rangkaian Barat.
Beliau yang merupakan salah seorang panelis di Forum Ilmuwan Malaysia Madani (FIM) ke-11 berkata, kekuatan Malaysia dalam kewangan Islam menawarkan pelan tindakan praktikal untuk kerjasama.
“Malaysia kuat dalam kewangan Islam, yang boleh dijadikan pengajaran oleh negara Muslim lain dan melakukan usaha kolaboratif dalam membina sistem kewangan tersebut supaya kita tidak bergantung kepada rangkaian kewangan Barat,” katanya.
Erdogan, yang juga Timbalan Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Universiti Ibn Haldun, berkata dunia Muslim masih terlalu terikat dan takut dengan bayang-bayang lama Eropah dan Amerika, serta menyeru keyakinan diri yang diperbaharui di tengah perubahan global.
“Bagi kita semua, ada bayang-bayang lama yang menghantui kita. Saya fikir kita boleh mempunyai keyakinan diri yang diperbaharui memandangkan apa yang berlaku di dunia, dan saya fikir itu akan mendekatkan kita.
“Kita sekarang lihat bahawa tamadun Barat yang telah mengaku menawarkan kestabilan, kemajuan, keamanan, kebebasan, demokrasi, nilai liberal, dan sebagainya kepada dunia, tidak lagi berminat dengan perkara-perkara itu sebahagian besarnya. Nilai-nilai itu kita faham hanya sah dan relevan selagi ia melayani kepentingan Barat,” tegasnya.
Pada masa sama, Erdogan juga mendorong hubungan institusi yang lebih kukuh, terutamanya dalam pendidikan, dengan mencadangkan lebih banyak pertukaran pelajar dan pensyarah antara Malaysia dan Turkiye.
“Jika kita boleh melabur dalam pelajar sekolah menengah dan universiti kita untuk menjadi sahabat, kita akan melabur dalam sesuatu yang nyata dalam dekad-dekad akan datang,” tambahnya.
Sementara itu, Pengarah Institut Pembangunan dan Penyelidikan Islam Sharif Hasan Al-Banna, yang juga panelis forum semalam, berkata negara Muslim mesti mengukuhkan perdagangan dua hala dan membina blok perdagangan intra-Muslim untuk mengurangkan pergantungan kepada sistem kewangan luaran.
Beliau berkata integrasi ekonomi adalah sebahagian daripada empat laluan untuk mencapai perpaduan Muslim yang praktikal, bersama kerjasama fungsional, kebebasan intelektual, dan pakatan strategik.
Forum bertemakan “Perpaduan Muslim dalam Masa Krisis Geopolitik” itu dimoderatkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. — Bernama



