BANGI: Sumud Nusantara Command Center (SNCC) mengesahkan bahawa enam daripada 22 kapal yang dipintas dan diceroboh tentera rejim Israel di perairan antarabangsa ketika menuju ke Gaza membawa 10 rakyat Malaysia. Ketua Pengarah SNCC, Sani Araby Abdul Alim Araby, berkata individu yang terlibat termasuk Zainal Rashid Ahmad yang menaiki kapal Arkham III; Osman Zolkifli dan Dr Jihan Alya Mohd Nordin (Eros 1); Hazwan Hazim Dermawan, Mohd Hanafi Mohd Salim, Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman dan Norhelmi Ab Ghani (Bianca BCN). Turut terlibat ialah Mohd Redzal Amzah dan Muhamad Muhsin Zaidi, masing-masing berada dalam kapal Freia dan Marea, serta Mohd Shamsir Mohd Isa (Esplai).
Latar Belakang Misi
Sani Araby yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) berkata misi itu secara keseluruhannya melibatkan 63 kapal, namun 22 kapal sahaja dipintas, terputus hubungan dan diceroboh secara langsung, melibatkan 186 aktivis. Kapal-kapal yang terlibat ialah Saf Saf, Arkham III, Bella Blue, Romantica, Goleta, Eros I, Esplai, Mystere, Magic Boat, Ghea, Snap, Eros, Tam Tam, Nagual, Lapinya, Bianca BCN, Freia, Batolo, Bribon, Marea, Malia dan Holy Blue.
Beliau berkata kejadian itu berlaku pada 1 pagi hingga 11 pagi waktu Malaysia (6 petang hingga 4 pagi waktu Greece), dengan kapal GSF 2.0 dihampiri secara agresif oleh kapal tentera Zionis sewaktu berada di perairan antarabangsa berhampiran Kepulauan Crete, Greece. Kedudukan flotila ketika insiden intimidasi berlaku adalah kira-kira 656 batu nautika dari Pantai Gaza, iaitu di zon pelayaran antarabangsa yang sah dan dijamin sepenuhnya di bawah undang-undang maritim antarabangsa UNCLOS.
Provokasi dan Gangguan
Semasa kejadian, terdapat provokasi berlaku dengan pihak tentera Israel melepaskan tembakan amaran ke arah kapal delegasi, selain melakukan gangguan frekuensi radio secara mengancam terhadap aktivis kemanusiaan yang tidak bersenjata. Selain itu, SNCC mengesahkan kehadiran puluhan dron tidak dikenal pasti yang dikesan beroperasi di sekitar kawasan flotila, dipercayai melakukan pemantauan dan gangguan terhadap pergerakan serta komunikasi flotila. Rakaman audio dan visual yang diperoleh SNCC membuktikan pihak tentera Israel menggunakan naratif palsu bagi menjustifikasikan serangan amaran tersebut, sedangkan baki flotila misi kekal berlayar di koridor perairan antarabangsa tanpa melanggar sebarang protokol maritim.
Tindakan Susulan
Bagi memastikan keselamatan kapal yang lain, SNCC mengarahkan semua kapal yang belum dipintas untuk segera memasuki kawasan perairan Greece. Perkembangan terbaharu itu dimaklumkan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan beberapa menteri penaung bagi memohon sokongan kerajaan khususnya dari sudut keselamatan dan urusan diplomatik bersama kerajaan Greece serta Turki.
Mengulas lanjut status terkini 10 rakyat Malaysia itu yang kali terakhir dapat dihubungi pada 8.30 pagi tadi, Sani Araby berkata status mereka masih belum diketahui buat masa ini, dan pihaknya akan memaklumkan perkembangan terbaharu dari semasa ke semasa. Pihaknya berharap untuk menerima maklumat lanjut dalam masa terdekat kerana waktu tempatan di lokasi kejadian masih terlalu awal.
Pihaknya juga telah menjangka rejim Zionis akan membuat pemintasan terhadap GSF 2.0 kerana bimbang terhadap sokongan masyarakat dari seluruh dunia termasuk Malaysia terhadap usaha ini. Taktik pemintasan lebih awal kali ini berbeza jika dibandingkan dengan insiden penahanan dan penculikan pada Oktober 2025 yang dilakukan dalam kawasan Red Zone iaitu pada kedudukan 50 batu nautika dari Gaza, sekali gus menunjukkan rejim Zionis berada dalam keadaan terdesak.
Sani Araby menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersatu hati, selain mengadakan solat hajat dan membaca Qunut Nazilah bagi memohon perlindungan dan keselamatan kepada semua delegasi misi yang ditahan. GSF 2.0 menghimpunkan gabungan antarabangsa dari seluruh dunia, menggabungkan usaha maritim dengan gerakan mobilisasi global di darat termasuk advokasi undang-undang serta kempen solidariti di pelbagai negara yang komited untuk memecahkan sekatan ke atas Gaza sebagai tindak balas terhadap krisis kemanusiaan yang semakin meruncing di wilayah berkenaan.



