KUALA LUMPUR: Sepuluh rakyat Malaysia yang bersama Flotila Global Sumud yang ditahan di perairan antarabangsa berhampiran pulau Crete, Greece pada Khamis telah dibebaskan dan dijangka akan diterbangkan ke Turki.
Pengarah pusat perintah Sumud Nusantara, Dr Sani Araby Abdul Alim Araby, berkata kesemua 10 individu tersebut adalah antara 175 aktivis kemanusiaan dari flotila yang diangkut ke lapangan terbang Heraklion menggunakan bas yang disediakan oleh pihak berkuasa Greece.
Menurut Sani, aktivis Malaysia yang dibebaskan telah menerima tawaran kerajaan Turki untuk menaiki pesawat 160 tempat duduk yang akan membawa pulang 20 warganegara Turki.
“Penerbangan itu dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Istanbul pada pukul 11.45 malam waktu Malaysia,” katanya dalam sidang akhbar di sini malam tadi.
Penahanan berlaku ketika flotila dalam perjalanan membawa bantuan ke Gaza. Aktivis dilaporkan ditahan di perairan antarabangsa sebelum dibawa ke pelabuhan Lerapetra di Crete. Pembebasan mereka adalah hasil rundingan diplomatik antara pelbagai pihak.
Lebih banyak perkembangan akan dikemaskini.



