Trump henti sementara serangan Iran atas permintaan negara Teluk
Trump henti sementara serangan Iran atas permintaan negara Teluk

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pada Isnin berkata, beliau menghentikan sementara serangan yang dirancang ke atas Iran bagi membolehkan rundingan diteruskan ke arah mencapai perjanjian menamatkan perang AS-Israel, selepas Tehran mengemukakan cadangan damai baharu kepada Washington.

Katanya, beliau telah mengarahkan tentera AS tidak melancarkan serangan dijadualkan ke atas Iran esok serta “bersiap sedia untuk meneruskan serangan berskala penuh dan besar terhadap Iran pada bila-bila masa, jika tidak mencapai perjanjian yang boleh diterima”. Tiada serangan sedemikian diumumkan sebelum ini dan Reuters tidak dapat memastikan sama ada persiapan telah dibuat bagi serangan yang akan menandakan sambungan semula perang yang dimulakan Trump pada akhir Februari lalu.

Di bawah tekanan untuk mencapai persetujuan bagi membuka semula Selat Hormuz, Trump sebelum ini menyuarakan harapan bahawa perjanjian menamatkan perang hampir dicapai, selain mengancam serangan besar-besaran terhadap Iran, jika Tehran gagal mencapai persetujuan.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Trump dalam hantaran di media sosial berkata, pemimpin Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) meminta beliau menghentikan sementara serangan itu kerana “satu perjanjian sangat boleh diterima AS serta semua negara di Asia Barat dan seterusnya akan dicapai”. Beliau bagaimanapun tidak memperincikan perjanjian yang sedang dibincangkan itu.

Hantaran Trump itu dibuat selepas jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei, mengesahkan pandangan Tehran telah “disampaikan kepada pihak AS melalui Pakistan”, namun tidak memberikan butiran lanjut. Sumber Pakistan mengesahkan Islamabad, yang menyampaikan mesej antara kedua-dua pihak dalam perang di Asia Barat sejak menjadi tuan rumah kepada satu-satunya pusingan rundingan damai bulan lalu, berkongsi cadangan terbaharu itu dengan Washington. Namun, sumber itu memberi bayangan rundingan sukar mencapai kemajuan. Kedua-dua pihak terus mengubah syarat masing-masing, kata sumber Pakistan itu sambil menambah: “Kita tidak mempunyai banyak masa.”

Iran kekal tegas

Iran kekal tegas dalam kenyataan yang disiarkan media kerajaan selepas pengumuman Trump, dengan memberi amaran kepada AS dan sekutunya supaya tidak mengulangi “kesilapan strategik atau salah kiraan” dalam menyerang Iran kerana angkatan tenteranya “lebih bersedia dan kuat berbanding sebelum ini”. Markas Pusat Iran, Khatam al-Anbiya berkata, angkatan tentera Iran “bersedia memetik picu” jika berlaku serangan baharu AS, menurut Agensi Berita Tasnim Iran. “Sebarang pencerobohan dan serangan baharu…akan dibalas dengan cepat, tegas, kuat dan meluas,” menurut Komander Khatam al-Anbiya, Ali Abdollahi.

Cadangan damai Iran, seperti yang dijelaskan sumber kanan Iran, dilihat mempunyai banyak persamaan dengan tawaran Tehran sebelum ini yang ditolak Trump minggu lalu sebagai “sampah”. Cadangan itu akan memberi tumpuan kepada usaha menamatkan perang, membuka semula Selat Hormuz – laluan utama bekalan minyak yang disekat Iran – serta menarik balik sekatan maritim.

Pendirian semakin lembut

Isu yang menjadi pertikaian membabitkan program nuklear Iran dan pengayaan uranium akan ditangguhkan ke pusingan rundingan seterusnya, kata sumber itu. Bagaimanapun, dalam apa yang dilihat sebagai pendirian semakin lembut Washington, sumber kanan Iran itu berkata, AS telah bersetuju melepaskan satu perempat dana Iran dibekukan – berjumlah puluhan bilion dolar AS – yang disimpan di bank asing. Iran mahu semua aset itu dilepaskan. Sumber Iran itu berkata, Washington menunjukkan lebih banyak fleksibiliti dengan membenarkan Iran meneruskan beberapa aktiviti nuklear secara aman di bawah pengawasan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA). AS belum mengesahkan ia telah bersetuju terhadap sebarang perkara dalam rundingan itu.

Agensi Berita Tasnim Iran secara berasingan memetik sumber tidak dikenali berkata, AS bersetuju menggantung sekatan minyak terhadap Iran ketika rundingan sedang berlangsung. Pegawai Iran tidak segera mengulas laporan Tasnim itu, yang disifatkan seorang pegawai AS enggan dinamakan sebagai tidak benar.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga

Gencatan senjata rapuh sedang berkuat kuasa selepas enam minggu perang susulan serangan udara AS-Israel ke atas Iran, walaupun dron dilancarkan dari Iraq ke arah negara Teluk, termasuk Arab Saudi dan Kuwait, yang dipercayai dilakukan Iran dan sekutunya. Kementerian Luar Pakistan mengeluarkan kenyataan pada Isnin yang mengecam serangan dron Ahad lalu, selepas Arab Saudi memaklumkan ia memintas tiga dron memasuki negara itu dari ruang udara Iraq.