Toronto, 14 Mei — Semasa Toronto bersiap sedia untuk Piala Dunia, bandar raya ini mahu membantu orang ramai ‘menjaringkan gol’ dengan selamat di bilik tidur dengan menawarkan kondom percuma yang diinspirasikan daripada bola sepak.
Dengan lebih 300,000 pengunjung dijangka hadir untuk kejohanan 11 Jun hingga 19 Julai, Toronto Public Health (TPH) akan mengedarkan kondom edisi terhad yang menampilkan enam rekaan yang “meraikan semangat permainan sambil mempromosikan kesihatan seksual.”
Antara rekaan tersebut termasuk “Block those shots!”, “What a finish!” dan “Peaches & Cream,” dengan imej yang terakhir menampilkan gambar pic dan terung di hadapan gol.
Kondom dan bekalan seks lebih selamat yang lain akan ditawarkan di empat klinik kesihatan seksual yang dikendalikan TPH sebagai sebahagian daripada inisiatif CondomTO untuk mempromosikan seks lebih selamat, mengurangkan stigma, dan menghubungkan orang ramai dengan perkhidmatan kesihatan seksual.
“Kajian menunjukkan bahawa menggunakan kondom setiap kali anda melakukan hubungan seks oral, dubur atau faraj mengurangkan risiko jangkitan seksual dan bawaan darah (STBBI), HIV dan/atau kehamilan tidak dirancang,” kata unit itu di laman webnya.
Kanada menjadi tuan rumah bersama Piala Dunia bersama Amerika Syarikat dan Mexico. — Reuters



