RTM bakal siar lebih banyak acara sukan utama selepas kejayaan Piala Dunia
RTM bakal siar lebih banyak acara sukan utama selepas Piala Dunia

KUALA LUMPUR, 20 Julai — Radio Televisyen Malaysia (RTM) akan mengumumkan perolehan hak penyiaran untuk beberapa lagi acara sukan bertaraf dunia selepas kejayaan liputan percuma keseluruhan Piala Dunia FIFA 2026, kata Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.

RTM peroleh hak siaran lebih banyak kejohanan

“Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail telah memaklumkan kepada saya bahawa RTM akan menyiarkan beberapa lagi kejohanan. Ia akan diumumkan kemudian,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Unity Merdeka x RTM World Cup 2026 di Dataran Merdeka awal pagi ini.

Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Madani berkata, Kementerian Komunikasi akan mendapatkan angka penuh tontonan perlawanan akhir Piala Dunia FIFA 2026 sebelum membuat penilaian menyeluruh terhadap prestasi penyiaran kejohanan tersebut.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Isu teknikal berjaya diatasi

Fahmi berkata, walaupun terdapat beberapa masalah teknikal pada permulaan liputan, masalah tersebut telah dikenal pasti dan berjaya diselesaikan.

“Saya akan dapatkan angka itu nanti, dan kami akan menilai semula penyiaran akhir. Ada beberapa isu teknikal pada permulaan yang telah dikenal pasti dan berjaya diselesaikan.

“… dan saya rasa ini juga adalah peluang yang baik untuk kita meneroka teknologi baharu, termasuk keupayaan menonton televisyen pada telefon pintar. Ini sangat baik untuk rakyat Malaysia, insya-Allah,” katanya.

RTM perkukuh kerjasama strategik dengan media tempatan

Sementara itu, Ashwad berkata, Jabatan Penyiaran atau RTM boleh terus mengukuhkan perkongsian strategik dengan organisasi media tempatan bagi memastikan orang ramai mendapat akses kepada kandungan berkualiti, termasuk liputan acara sukan utama.

Beliau menambah, jabatan itu menyasarkan untuk bertindak sebagai titik fokus yang menyatukan pengamal media dalam menyediakan kandungan terbaik kepada rakyat dan tidak melihat hak penyiaran sebagai satu bentuk persaingan.

“Ini bukan soal siapa dapat hak eksklusif, siapa tidak, siapa menang atau siapa kalah. Apabila ia melibatkan perkara yang diperlukan rakyat Malaysia, Jabatan Penyiaran Malaysia percaya ia melampaui persaingan,” katanya.

Ashwad berkata, pendekatan kolaboratif itu tidak terhad kepada siaran Piala Dunia sahaja, malah akan diperluaskan kepada acara-acara utama lain pada masa hadapan untuk manfaat penonton di seluruh negara. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga