Melaka peruntuk RM5 juta baiki infrastruktur banjir kilat 11 Julai
Melaka peruntuk RM5 juta baiki infrastruktur banjir

Kerajaan Negeri Melaka telah meluluskan peruntukan segera sebanyak RM5 juta untuk menjalankan kerja-kerja pembaikan dan pemulihan sistem perparitan serta infrastruktur yang rosak akibat banjir yang melanda negeri itu pada Sabtu, 11 Julai lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri, Datuk Rais Yasin, berkata keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Penyelarasan Pasca Banjir yang dipengerusikannya pada 13 Julai.

Skop kerja pembaikan

“Skop kerja termasuk pembaikan tebing sungai, pembaikan struktur kawalan, pembaikan jambatan, penyelenggaraan dan pembersihan sistem perparitan, serta jalan raya yang rosak akibat banjir,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Kompleks Seri Negeri hari ini.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Beliau menjawab soalan tambahan daripada Allex Seah Shoo Chin (PH-Kesidang) yang bertanyakan tindakan segera kerajaan negeri menangani banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di Melaka baru-baru ini.

Penyelesaian jangka sederhana

Menjelaskan lanjut, Rais berkata kerajaan negeri juga melaksanakan penyelesaian jangka sederhana, termasuk menerima peruntukan RM3 juta daripada Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan menaik taraf di Kolam Takungan Banjir Paya Rumput.

“Kerja-kerja dijangka bermula pada Ogos dengan tiga fokus utama, termasuk meningkatkan kapasiti takungan melalui kerja-kerja pengorekan enapan dan pembersihan bagi menampung jumlah air hujan yang tinggi,” katanya.

Projek mitigasi di Sungai Rambai

Terdahulu, Datuk Siti Faizah Abdul Azis (BN-Sungai Rambai) bertanya sama ada kerajaan negeri mempunyai rancangan melaksanakan projek mitigasi banjir di kawasan Sungai Rambai yang sering dilanda banjir kilat.

Sebagai respons, Rais berkata Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah meluluskan peruntukan RM250,000 untuk pelantikan perunding bagi menjalankan Kajian Kebolehlaksanaan Mitigasi Banjir untuk kawasan DUN Sungai Rambai.

Beliau menambah, kerajaan negeri juga telah mengambil maklum Projek Tebatan Banjir (RTB) Sungai Kesang yang dilaksanakan oleh JPS Johor, yang dijangka membantu mengurangkan risiko banjir bagi penduduk di kawasan Sungai Rambai. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga