IPOH, 16 Mei — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan terus memantau situasi membabitkan pasukan Global Sumud Flotilla (GSF) yang kini berada di garisan kuning dua, kira-kira 340 batu nautika dari pantai Gaza, berdepan risiko pintasan oleh rejim Zionis.
Beliau berkata kerajaan akan berusaha sedaya upaya untuk mengekalkan komunikasi langsung dengan kerajaan Jordan dan Arab Saudi bagi mendapatkan maklumat terkini mengenai para peserta dan terus bersiap sedia sekiranya berlaku sebarang insiden yang tidak diingini.
“Kita sentiasa memantau keadaan, maksudnya kita sudah beri tekanan, tetapi kita berurusan dengan Israel, negara paling tidak bertamadun di dunia.
“Bukan hanya dengan peserta dari Malaysia, tetapi juga dari Sepanyol, Turkiye dan Brazil. Kita bersedia sekiranya pintasan seperti itu berlaku,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi perjumpaan dan penyerahan Surat Setuju Terima (SST) kepada kontraktor kecil Bumiputera di Kompleks Pendidikan Negeri Perak di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pusat Komando Sumud Nusantara (SNCC) yang mengesahkan situasi kritikal membabitkan 54 kapal GSF kini berada di garisan kuning dua, kira-kira 340 batu nautika dari pantai Gaza, dan berdepan risiko tinggi pintasan oleh rejim Zionis seperti yang berlaku sebelum ini.
Ditanya apakah tindakan yang akan diambil sekiranya konvoi kapal tersebut benar-benar dipintas oleh rejim Zionis, Anwar berkata: “Kita berdoa agar ia tidak berlaku, tetapi jika ia berlaku, kita bersiap sedia.”
Misi GSF terkini membabitkan hampir 500 peserta antarabangsa dari 45 negara, termasuk 29 rakyat Malaysia, yang digerakkan oleh pelbagai kumpulan aktivis kemanusiaan global. — Bernama



