KPDN gubal undang-undang kawal penyalahgunaan kad armada minyak
KPDN gubal undang-undang kawal penyalahgunaan kad armada

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) sedang merangka cadangan peraturan khusus di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 untuk mewujudkan rangka kerja undang-undang yang lebih jelas, menyeluruh dan teratur bagi pelaksanaan peraturan dan penguatkuasaan penggunaan kad armada.

Menterinya, Datuk Armizan Mohd Ali, berkata ia adalah komitmen kerajaan persekutuan untuk terus memperkukuh kawalan dan penguatkuasaan mekanisme penggunaan kad armada dalam pengagihan subsidi bahan api melalui Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) dan Skim Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS).

Beliau berkata peraturan itu antara lain akan melibatkan aspek tanggungjawab pemegang kad armada dan syarikat minyak serta kesalahan dan hukuman bagi sebarang bentuk penyalahgunaan subsidi.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Tindakan ini diambil berikutan wujudnya modus operandi melibatkan ketirisan dan penyelewengan diesel dan petrol melalui penyalahgunaan kad armada. Sejak 2023 hingga 14 Mei, sebanyak 223 kad armada di bawah pelaksanaan SKDS dan SKPS telah disekat.

“KPDN akan terus memperkukuh pemantauan dan penguatkuasaan di peringkat lapangan dan mana-mana pihak yang menyalahgunakan kad armada bagi tujuan menyeleweng subsidi diesel dan petrol akan dikenakan tindakan tegas,” katanya dalam sidang akhbar di Program Inspirasi Barangan Malaysia di sini hari ini.

Armizan berkata KPDN mahu tindakan lebih tegas diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati menyeleweng kad armada subsidi bahan api, termasuk mengenakan denda yang sesuai, dan bukan sekadar menyekat penggunaan kad tersebut.

Dalam perkembangan berkaitan, Armizan berkata pelaksanaan pengagihan subsidi diesel bagi sektor pengangkutan barang darat melalui SKDS akan diperluas ke Sabah, Sarawak dan Labuan.

Beliau berkata fasa awal perluasan itu melibatkan permohonan pendaftaran untuk menyertai SKDS bagi syarikat dalam sektor pengangkutan darat di tiga wilayah itu bermula pada 4 Mei.

Di bawah pelaksanaan SKDS semasa, katanya, 23 kategori kenderaan pengangkutan darat layak menikmati harga subsidi diesel, dengan kadar harga subsidi semasa untuk SKDS dalam sektor pengangkutan darat ialah RM2.15 seliter.

Mengenai program itu, Armizan berkata ia adalah strategi di bawah inisiatif Kita Beli Barangan Malaysia, antara lain, sebagai platform pemasaran dan promosi yang menghimpunkan pelbagai pemain industri tempatan, sekaligus menjadi pemangkin kepada pengukuhan permintaan dan kebolehpasaran barangan Malaysia.

Ia merangkumi pelbagai segmen termasuk makanan dan minuman, gaya hidup, kecantikan, fesyen, kraf tangan serta perkhidmatan daripada usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana kepada jenama premium tempatan, katanya. — Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga