Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengakui kapal tangki yang dikaitkan dengan Iran mengeksploitasi 'jurang bidang kuasa' untuk melakukan pemindahan minyak dari kapal ke kapal yang dikenakan sekatan Amerika Syarikat berhampiran perairan Malaysia di Laut China Selatan.
Laporan AP Dedah Operasi 70km Dari Johor
Menurut laporan Associated Press (AP), operasi itu berlaku kira-kira 70km dari Johor di kawasan Had Pelabuhan Luar Timur (EOPL) yang merupakan laluan perdagangan maritim paling sibuk di dunia dan terletak kira-kira separuh jalan antara Iran dan China yang membeli kira-kira 90% minyak Iran.
Laporan AP menyatakan bahawa kawasan itu kini menjadi hab utama untuk pemindahan kapal ke kapal yang melibatkan 'armada bayang-bayang' Iran iaitu kapal tangki tua yang sering beroperasi dengan sistem penjejakan dilumpuhkan, identiti palsu dan struktur pemilikan legap untuk menyembunyikan asal minyak mentah yang kebanyakannya menuju ke China.
Kegiatan Bertujuan Elak Sekatan Tenaga AS
Aktiviti itu dikatakan dilakukan untuk mengelak sekatan tenaga AS yang dikenakan ke atas Tehran dengan pegawai AS sebelum ini menyatakan bahawa eksport minyak Iran sangat bergantung kepada penyedia perkhidmatan dan pemindahan kapal ke kapal yang beroperasi berhampiran perairan Malaysia.
Ketua Pengarah APMM, Datuk Rosli Abdullah mengakui bahawa banyak pemindahan minyak dari kapal ke kapal berlaku di luar perairan wilayah Malaysia dan di kawasan terpencil di luar liputan radar terutama di lokasi berhampiran sempadan maritim atau laluan perkapalan antarabangsa.
"Pemilihan lokasi sebegitu bertujuan untuk mengeksploitasi jurang bidang kuasa dan mengehadkan tindakan penguatkuasaan langsung oleh pihak berkuasa tempatan," katanya kepada AP.
Malaysia Tidak Galakkan Pemindahan di Zon Tidak Diluluskan
Walaupun tidak menyalahi undang-undang, Malaysia tidak menggalakkan pemindahan kapal ke kapal yang dijalankan di luar zon yang diluluskan kerana aktiviti ini lebih sukar dipantau, sering melibatkan kapal yang lebih tua dan membawa risiko tumpahan minyak yang lebih tinggi jauh dari kemudahan pelabuhan di mana insiden boleh diurus dengan lebih berkesan.
Kumpulan advokasi berpangkalan di AS, United Against Nuclear Iran (UANI) memaklumkan imejan satelit menunjukkan 42 pemindahan kapal ke kapal minyak Iran dijalankan di kawasan EOPL sejak 28 Februari apabila AS dan Israel menyerang Iran sehingga mencetuskan perang di Timur Tengah.
UANI Tuduh Malaysia 'Tidak Bertindak'
Penasihat UANI, Charlie Brown menuduh Malaysia 'tidak bertindak' yang memudahkan model perniagaan oleh Iran dan China serta 'pelaku armada gelap' sambil memberi amaran bahawa Malaysia menjadi 'pemudah cara berbanding sekadar tempat transit' untuk aktiviti haram.
Bagaimanapun, Rosli berkata dakwaan UANI tidak selari dengan 'situasi sebenar di lapangan' dan tidak mencerminkan realiti operasi penguatkuasaan maritim yang dijalankan oleh APMM sambil menambah bahawa kekurangan perkongsian risikan masa nyata di kalangan agensi domestik dan antarabangsa juga menghalang tindakan berkesan.
Rosli menegaskan penguatkuasaan dijalankan dengan tegas di bawah undang-undang Malaysia dan konvensyen antarabangsa yang berkaitan serta pihak berkuasa 'tidak pernah berkompromi atau memberikan layanan atau keistimewaan khas kepada mana-mana negara'.
Kedutaan Iran di Kuala Lumpur mahupun misi Iran ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu tidak menjawab permintaan komen AP. Jabatan Negara AS enggan mengulas.
Kawasan EOPL Sempadan Dengan Indonesia
Walaupun kawasan pemindahan minyak itu dianggap sebahagian daripada zon ekonomi lebih luas Malaysia, ia bersempadan dengan kepulauan Riau yang merupakan wilayah Indonesia. Jurucakap kementerian luar Indonesia, Yvonne Mewengkang memberitahu AP bahawa pihak berkuasa Indonesia sedang meninjau situasi untuk menentukan kesahan aktiviti tersebut.



