Gimik bakar suar di Bukit Bintang: 15 termasuk wanita ditahan
Gimik bakar suar Bukit Bintang: 15 ditahan

Polis menahan 15 individu dalam tempoh kurang daripada 24 jam selepas aksi mereka membakar suar di atas sebuah pikap di tengah Jalan Sultan Ismail di Bukit Bintang bagi mempromosikan jualan pakaian tular di media sosial. Ketua Polis Dang Wangi, Sazalee Adam, berkata penahanan suspek terdiri daripada 14 lelaki dan seorang wanita berusia antara 17 hingga 30 tahun dibuat dalam operasi sekitar Batu Caves, Shah Alam, Kajang dan Dengkil hingga jam 10 malam semalam.

Reman tiga hari

“Semua mereka sudah dibawa ke mahkamah dan kita memperoleh perintah reman selama tiga hari bermula hari ini,” katanya pada sidang media di IPD Dang Wangi, lapor Berita Harian. Semalam, Sazalee dilaporkan berkata polis sedang memburu sekumpulan individu yang dipercayai membakar suar berhampiran sebuah restoran makanan segera di Bukit Bintang, awal pagi semalam. Beliau berkata kejadian kira-kira jam 2 pagi itu dikesan dalam video tular yang menunjukkan beberapa individu melakukan aksi berbahaya berkenaan.

Siasatan kain rentang

Siasatan turut dijalankan terhadap kain rentang tertera nombor ‘6.6’ yang dipamerkan oleh kumpulan individu berkenaan seperti yang dipaparkan dalam video berkenaan. Sazalee berkata, hasil siasatan mendapati video tular itu dibuat bagi tujuan gimik promosi jualan sebuah kedai pakaian yang beroperasi di Dengkil. Katanya, kain rentang yang digunakan itu dipercayai merujuk kepada promosi jualan pakaian kedai terbabit yang memasuki tahun keenam beroperasi.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Pemilik kedai pakaian, lelaki berusia 24 tahun turut ditahan bersama pekerja kedai dan beberapa individu lain yang dibayar bagi melakonkan aksi berkenaan. Siasatan mendapati, seramai lapan individu diupah untuk melakonkan aksi terbabit dengan kadar bayaran antara RM50 hingga RM700 bagi menjayakan aksi itu,” katanya. Tambahnya, seorang wanita yang ditahan adalah pekerja kedai dan siasatan menunjukkan dia bertindak sebagai penyelaras rakaman video aksi terbabit.

Rampasan kenderaan

“Turut merampas sebuah Ford Raptor dan dua motosikal scrambler yang digunakan dalam aksi berkenaan. Kenderaan pikap serta dua motosikal scrambler terbabit adalah milik individu yang diupah pemilik kedai melakukan aksi semalam. Polis akan mengambil tindakan saman dan menyita motosikal terbabit kerana hanya boleh digunakan bagi aktiviti off-road dan tidak boleh didaftarkan untuk kegunaan di jalan raya,” katanya.

Sazalee berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati semua suspek negatif dadah dan siasatan lanjut sedang dijalankan. “Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 290 Kanun Keseksaan, Seksyen 6 Akta Bahan Letupan dan Kakisan 1957, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1988,” katanya.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga