Eneos Dikatakan Dalam Rundingan Akhir untuk Aset Chevron di Asia
Tokyo: Eneos Holdings Inc., yang tersenarai di Bursa Saham Tokyo, dilaporkan menjadi satu-satunya penawar yang tinggal untuk beberapa aset Chevron Corp. di Asia, dalam urusan yang mungkin bernilai lebih AS$2 bilion (RM8.6 bilion), menurut sumber yang mengetahui perkara itu.
Syarikat-syarikat tersebut menyasarkan untuk mencapai persetujuan seawal suku tahun ini, kata sumber yang enggan dinamakan kerana rundingan bersifat sulit. Aset yang terlibat termasuk kilang penapisan dan stesen minyak di Malaysia, Singapura, Filipina dan Australia, tambah mereka.
Rundingan masih berlangsung dan tiada keputusan muktamad dibuat, kata sumber. Wakil Eneos dan Chevron enggan mengulas. Eneos mendahului pesaing lain seperti Glencore Plc dan Vitol Group untuk kepentingan dalam kilang penapisan Singapura milik Chevron, menurut sumber pada Disember lalu.
Reuters melaporkan pada Januari bahawa Chevron sedang berunding dengan Eneos dan Glencore untuk beberapa aset dan menyasarkan untuk memuktamadkan urusan pada suku pertama. Chevron bersetuju menjual perniagaan bahan apinya di Hong Kong kepada Bangchak Corp. dengan nilai AS$270 juta awal tahun ini.
Gergasi minyak lain seperti Exxon Mobil Corp. dan Shell Plc juga telah menjual aset di Asia Tenggara dalam beberapa tahun kebelakangan ini.



