KUALA LUMPUR, 27 Mei — Malaysia mengekalkan pendirian tegas dalam mengutuk sebarang tindakan pencerobohan dan serangan di Asia Barat, termasuk serangan dron serta operasi ketenteraan Israel-Amerika Syarikat yang telah meragut nyawa orang awam.
Anwar sampaikan pendirian kepada Presiden Iran
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau menyampaikan pendirian ini kepada Presiden Iran Dr Masoud Pezeshkian dalam perbualan telefon semalam.
“Alhamdulillah, saya berkesempatan mengadakan panggilan telefon dengan Presiden Republik Islam Iran, Dr Masoud Pezeshkian, untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri serta salam persaudaraan dan doa daripada seluruh rakyat Malaysia untuk rakyat Iran,” katanya dalam hantaran Facebook.
Anwar berkata dalam perbualan itu, beliau juga menyatakan harapan agar Iran segera kembali kepada keamanan dan semua ketegangan serta pertumpahan darah dapat diakhiri melalui cara aman dan diplomasi yang bertanggungjawab.
Beliau turut merakamkan penghargaan atas sokongan dan kerjasama Iran dalam membantu pembebasan serta laluan selamat kapal-kapal Malaysia di Selat Hormuz baru-baru ini.
“Saling menghormati dan semangat persahabatan seperti ini mesti terus diperkukuh dalam hubungan antara negara,” katanya.
Presiden Iran hargai pendirian Malaysia
Sementara itu, Anwar berkata Pezeshkian turut menyatakan penghargaan atas pendirian konsisten Malaysia dalam menegakkan keamanan, keadilan dan prinsip kemanusiaan di peringkat antarabangsa.
Beliau berkata Presiden Iran juga menjemputnya untuk melawat Tehran bagi mengukuhkan lagi hubungan dua hala dan kerjasama strategik antara kedua-dua negara.
“InsyaAllah, saya akan mengatur jadual untuk melawat Iran pada masa yang sesuai.
“Iran sentiasa dekat di hati saya, terutamanya kerana saya mempunyai ramai rakan dan kenalan di sana yang terus menjunjung ilmu, persaudaraan dan perjuangan universal untuk kemanusiaan,” kata Perdana Menteri. — Bernama



