SEPANG, 21 Mei — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah memberikan jaminan dan komitmen penuh untuk memimpin usaha melalui hubungan dua hala bagi membebaskan segera aktivis kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 yang ditahan oleh Israel.
Komitmen Perdana Menteri
Pengarah Jeneral Sumud Nusantara Command Centre (SNCC) Datuk Sani Araby Abdul Alim Araby berkata komitmen itu disampaikan oleh perdana menteri kepada SNCC dalam satu perbualan telefon hari ini.
“Perdana Menteri mengetuai semua usaha bersama kerajaan Malaysia dengan memanfaatkan hubungan dua hala yang erat dan telah berhubung rapat dengan Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan untuk mendesak pembebasan segera semua aktivis yang ditahan, memastikan keselamatan mereka dan mencegah mereka daripada dipenjarakan di Penjara Ketziot,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar mengenai perkembangan misi GSF 2.0 di sini hari ini.
Usaha Diplomatik
Sani Araby berkata SNCC juga dimaklumkan oleh Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa Wisma Putra telah menggiatkan usaha diplomatik dengan Turki dan beberapa negara lain.
Beliau berkata persiapan juga telah dibuat melibatkan wakil kedutaan Malaysia di Istanbul, Amman dan Kaherah untuk memastikan keselamatan dan pembebasan rakyat Malaysia yang terlibat dalam misi flotila kemanusiaan itu.
Sani Araby berkata insiden itu telah mencetuskan kemarahan dan kecaman antarabangsa, termasuk kenyataan dan demonstrasi di Itali, Turki, Sepanyol, Perancis, Belgium, Ireland, Kanada, Belanda, Jerman, Korea Selatan, Australia dan Portugal, serta oleh pertubuhan antarabangsa.
“Mereka juga mengecam pemintasan dan penahanan aktivis flotila kemanusiaan di perairan antarabangsa,” katanya.
Seruan Solidariti
Beliau berkata SNCC menyeru rakyat Malaysia untuk terus mengukuhkan solidariti melalui doa khusus, Qunut Nazilah, majlis doa kebangsaan, serta tekanan diplomatik dan advokasi yang berterusan sehingga semua perwakilan kemanusiaan dibebaskan.
Semalam, SNCC mengesahkan bahawa kesemua 50 kapal di bawah misi GSF 2.0 yang membawa 428 aktivis kemanusiaan dari 40 negara telah dipintas oleh Pasukan Pendudukan Israel (IOF) di perairan antarabangsa, kira-kira 80 batu nautika dari pantai Gaza. — Bernama



