Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengecam keras Israel berhubung penahanan 16 rakyat Malaysia yang merupakan sebahagian daripada misi Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0. Dalam satu hantaran di Facebook, beliau menegaskan bahawa tindakan Israel itu adalah satu penghinaan terhadap hak asasi manusia dan undang-undang maritim antarabangsa.
Malaysia kutuk tindakan Israel
“Malaysia mengutuk sekeras-kerasnya tindakan Israel dan menuntut jaminan keselamatan serta pembebasan segera semua aktivis yang ditahan,” kata Anwar. Beliau menambah bahawa tindakan rejim Zionis itu mencerminkan kebengisan mereka dalam menutup saluran bantuan, menyekat suara yang memperjuangkan kemanusiaan, dan menganiaya sesiapa sahaja yang mempertahankan nasib rakyat Palestin.
Seruan keadilan antarabangsa
Anwar menegaskan bahawa dunia tidak boleh berdiam diri terhadap kekejaman yang dilakukan terhadap rakyat Palestin dan mereka yang cuba menyalurkan bantuan kemanusiaan. “Israel mesti dipertanggungjawabkan dan dibawa ke muka pengadilan,” ujar Perdana Menteri.
Pada awalnya, Pusat Perintah Sumud Nusantara melaporkan bahawa lapan rakyat Malaysia ditahan oleh Angkatan Pertahanan Israel selepas kapal mereka dihentikan di perairan berhampiran Cyprus. Mereka yang ditahan dikenal pasti sebagai Zainal Rashid Ahmad, Shazly Shees, Tengku Ahmad Taufik Nor Zahari, S Patmanathan, Amirul Afif Azhar, Syakirin Senin, Muhsin Zaidi dan Ahmad Musa Al-Nuwayri Kamaruzaman. Bagaimanapun, pusat tersebut kemudian mengemas kini bahawa lapan lagi individu turut ditahan, tetapi identiti mereka masih belum didedahkan.



