PETALING JAYA: Sebanyak 1,638 syarikat disyaki menyalahgunakan skim insentif pengambilan pekerja kerajaan Daya Kerjaya 2.0 dengan mengemukakan tuntutan palsu bernilai kira-kira RM45 juta, menurut Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Abd Halim Aman, berkata sebanyak 63 kertas siasatan telah dibuka, manakala 97 individu ditahan, terdiri daripada 11 ejen dan 86 pemilik syarikat. Beliau berkata sebanyak 577 keterangan saksi turut direkodkan dalam siasatan tersebut.
“Daripada jumlah yang ditahan, 77 orang direman. Rampasan membabitkan aset alih bernilai RM74,198 termasuk emas, wang tunai dan barangan lain, manakala 36 akaun syarikat yang mengandungi RM463,076.92 dibekukan,” katanya pada sidang media.
Program Daya Kerjaya 2.0 menyediakan insentif kepada majikan sebanyak RM1,500 sebulan sehingga enam bulan bagi setiap pekerja layak yang diambil bekerja, termasuk orang kurang upaya, orang dalam parol dan warga emas berusia 60 tahun ke atas.
Halim berkata modus operandi sindiket itu ialah menggunakan maklumat peribadi individu tanpa pengetahuan mereka untuk membuat tuntutan di bawah program Daya Kerjaya 2.0. Katanya, ada juga pekerja hanya menerima bayaran sekali sahaja antara RM50 hingga RM2,400, sedangkan syarikat menuntut jumlah penuh insentif berkenaan.
Beliau berkata maklumat milik orang kurang upaya turut disalahgunakan bagi membolehkan bayaran dibuat kepada pihak ketiga. “SPRM juga mendapati akauntan firma perniagaan mengemukakan permohonan dengan kelulusan pemilik syarikat, yang hanya menerima komisen tanpa mengetahui pekerja yang didaftarkan,” katanya.
Halim berkata Op Daya akan diteruskan sehingga siasatan selesai. “SPRM menerima kerjasama baik daripada Perkeso dan sebaik siasatan selesai, kita akan memulakan prosiding pendakwaan di mahkamah,” katanya.



