Mahkamah Majistret Labuan hari ini membenarkan reman 57 individu sehingga 6 Jun bagi membantu siasatan berhubung sindiket penipuan pelaburan dalam talian yang dipercayai menyasarkan mangsa di Korea Selatan.
Perintah reman terhadap 50 lelaki dan tujuh wanita berusia antara 20 hingga 46 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Mellisa Chia selepas permohonan polis, lapor Bernama.
Kesemua suspek ditangkap dalam serbuan di sebuah bangunan yang disyaki menjadi pusat operasi sindiket penipuan pada jam lebih kurang 8.40 pagi semalam. Polis merampas pelbagai barangan dianggarkan bernilai RM131,500.
Suspek dipercayai telah beroperasi dan tinggal di premis tersebut sejak April tahun ini. Mereka yang ditahan terdiri daripada 48 warga China (44 lelaki dan empat wanita), lapan warga Vietnam (lima lelaki dan tiga wanita), dan seorang lelaki Malaysia.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan bagi kesalahan menipu dan Seksyen 120B bagi konspirasi jenayah.



