Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa pemilikan Bumiputera tidak seharusnya terbatas kepada perniagaan berskala kecil, sebaliknya perlu maju ke arah mengawal segmen lebih besar dalam rantaian nilai.
Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, usahawan Bumiputera tidak lagi boleh dilihat sekadar penjaja kecil, pembekal sampingan atau pemain di hujung rantaian industri, tetapi mesti dinaikkan menjadi pengeluar utama, pemilik teknologi dan peneraju pasaran.
Industri halal sebagai contoh
Menurutnya, dalam industri halal misalnya, kekuatan Malaysia tidak boleh terhenti pada pensijilan semata-mata. Halal mesti menjadi rantaian nilai yang dikuasai, daripada bahan mentah, pemprosesan, pembungkusan dan logistik sehinggalah ke pemasaran dan pasaran antarabangsa.
“Sebab itu cadangan menubuhkan konsortium syarikat induk Bumiputera berskala besar bagi menghasilkan bahan mentah kritikal seperti gelatin halal, enzim dan bahan farmaseutikal aktif perlu dilihat sebagai langkah strategik. Kita mesti kurangkan kebergantungan kepada import dan bina keupayaan Bumiputera dalam sektor halal bernilai tinggi,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Konvensyen Ekonomi Usahawan Bumiputera (KEUB) 2026 di Terengganu Equestrian Resort di Kuala Terengganu, hari ini.
Cabaran usahawan makanan dan francais
Pada masa sama, beliau berkata ramai usahawan Bumiputera dalam sektor makanan dan francais memiliki produk berkualiti tetapi terus berdepan cabaran dari segi kos, skala operasi, standard dan akses pasaran.
“Justeru, pendekatan seperti pembelian berkumpulan, dapur pusat komersial dan model inkubator francais boleh menjadi laluan untuk menyatukan kuasa beli, menyeragamkan kualiti dan menaikkan jenama Bumiputera ke tahap lebih tinggi,” katanya.
Teknologi dan masa depan
Ahmad Zahid turut menggesa lebih ramai usahawan Bumiputera menceburi sektor berorientasikan masa depan seperti aero-tech, dron, automasi dan industri berteknologi tinggi.
“Belia Bumiputera tidak boleh kekal sebagai pengguna semata-mata teknologi ini. Mereka mesti menjadi juruteknik, pereka bentuk, pembekal komponen, penyedia perkhidmatan, dan akhirnya, pemilik dalam rantaian nilai industri.
“Inilah erti sebenar pemerkasaan ekonomi. Usahawan Bumiputera mesti dikeluarkan daripada ruang terhad dan terbatas ke kedudukan lebih strategik dalam rantaian nilai negara,” katanya.
Ukuran kejayaan baharu
Sementara itu, Ahmad Zahid berkata ukuran kejayaan ekonomi Bumiputera perlu ditakrifkan semula, tidak lagi hanya tertumpu kepada penyertaan tetapi memberi penekanan lebih besar kepada kawalan dan pemilikan dalam sektor ekonomi bernilai tinggi.
“Sudah terlalu lama kita mengukur kejayaan melalui penyertaan. Berapa ramai Bumiputera berniaga, berapa ramai usahawan guna platform digital, dan berapa ramai belia terbabit dalam ekonomi gig. Semua ini penting, tetapi tidak mencukupi kerana dalam ekonomi hari ini, khususnya dalam ruang platform digital, penyertaan tidak semestinya membawa kepada pemilikan.
“Sebab itu nilai sebenar ekonomi digital bukan terletak pada transaksi semata-mata. Nilai sebenar adalah pada pemilikan platform, kawalan data dan penciptaan ekuiti. Dalam semangat itu, saya ingin melihat usaha lebih berani membangunkan platform digital Bumiputera berskala besar dan kompetitif yang mampu menjadi jenama Malaysia,” katanya.
Pencipta nilai melalui teknologi
Selain itu, Ahmad Zahid berkata Bumiputera mesti bergerak daripada sekadar pengguna teknologi kepada pencipta nilai melalui teknologi untuk kekal relevan dan kompetitif dalam ekonomi baharu yang dipacu data, automasi dan kecerdasan buatan (AI).
Sehubungan itu, katanya peralihan perlu adalah membina kekuatan Bumiputera dalam sektor teknologi supaya mereka bukan sekadar menggunakan aplikasi tetapi menjadi pembangun aplikasi dan pemilik penyelesaian teknologi.
Ahmad Zahid turut menyeru agar seluruh ekosistem ekonomi Bumiputera digerakkan secara lebih bersepadu, menyatukan dasar, modal, teknologi, bakat, pasaran dan keberanian menjadi satu gerakan nasional yang mampu memberikan impak bermakna.
“Saya percaya apabila Bumiputera memiliki platform, menguasai teknologi dan menerajui rantaian nilai, kita bukan sahaja akan membina ekonomi yang lebih kukuh tetapi juga komuniti yang lebih yakin tentang masa depannya,” katanya.



