Polis di Kota Kinabalu, Sabah, telah menahan tujuh pelajar sekolah menengah bagi membantu siasatan berhubung kejadian pukul seorang pelajar perempuan baru-baru ini.
Tujuh pelajar ditahan
Pemangku Ketua Polis Kota Kinabalu, Syed Lot Syed Abdul Rahman, berkata kesemua pelajar – enam perempuan dan seorang lelaki berusia 15 hingga 17 tahun – ditahan sekitar jam 3 petang tadi.
“Pelajar lelaki dipercayai merakam keseluruhan kejadian,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Syed Lot berkata kes itu disiasat di bawah Seksyen 147 dan 506 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan ugutan jenayah.
Kejadian pada 22 Mei
Lebih awal hari ini, polis memaklumkan seorang pelajar perempuan berusia 13 tahun cedera selepas diserang oleh lima pelajar perempuan lain pada jam 8 pagi, 22 Mei lalu.
Syed Lot berkata mangsa, yang membuat laporan polis pada jam 7.51 pagi keesokan harinya, dan suspek adalah pelajar dari pelbagai sekolah di sekitar Kota Kinabalu dan berkenalan melalui kumpulan WhatsApp.
Kejadian dipercayai berpunca daripada salah faham dalam kumpulan WhatsApp itu.
Siasatan mendapati mangsa dibawa ke lokasi kejadian oleh dua suspek sebelum pelajar lain mengepung dan menyerangnya.
Video kejadian itu telah tular di media sosial.



