DUNGUN: Polis sedang memburu seorang lelaki yang disyaki melakukan perbuatan lucah melampau berhampiran pintu masuk sebuah universiti awam di sini baru-baru ini.
Pemangku Ketua Polis Dungun Jumaidy Bah berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 12.30 tengah hari semalam. Beliau berkata siasatan awal mendapati lelaki itu menunggang motosikal dan mendedahkan kemaluannya kepada seorang pelajar perempuan yang sedang menunggu di pintu masuk universiti sebelum melarikan diri.
Menurut Jumaidy, polis juga telah mengesan satu video viral yang dipercayai berkaitan dengan kejadian yang sama dan sedang mencari saksi untuk membantu siasatan.
“Polis memandang serius kejadian ini dan akan mengambil tindakan tegas terhadap sebarang tingkah laku tidak bermoral yang mengganggu keselamatan awam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini, sambil mengumumkan kes itu disiasat di bawah Seksyen 377D Kanun Keseksaan.
Beliau berkata orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Dungun atau mana-mana balai polis berdekatan.



