Cadangan 17 kerusi DUN Sarawak tidak dibentang tahun ini
Cadangan 17 kerusi DUN Sarawak tidak dibentang tahun ini

Proses SPR masih berjalan

Cadangan untuk menambah 17 kerusi baharu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak tidak mungkin akan dibentangkan di Dewan Rakyat pada tahun ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata perkara itu perlu melalui beberapa proses dan prosedur di bawah Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), termasuk pameran awam untuk membolehkan orang ramai mengemukakan bantahan atau maklum balas.

“Berdasarkan maklumat daripada SPR, kemungkinan besar ia tidak akan dibentang tahun ini kerana beberapa proses dan prosedur masih perlu dijalankan.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Paling awal, SPR boleh mempamerkannya kepada orang ramai. Selepas pameran, akan ada tempoh untuk bantahan dan proses lain. Jadi kemungkinan besar ia hanya boleh dibentang tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan insentif kepada pelajar cemerlang SPM di Sekolah Menengah Sains Kuching Utara hari ini.

Tiada campur tangan kerajaan

Fadillah, yang juga Naib Presiden Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), berkata SPR mempunyai prosedur tersendiri yang melibatkan kajian dan data banci penduduk.

“Penentuan bila cadangan itu akan dibentangkan adalah di bawah bidang kuasa SPR sepenuhnya, tanpa campur tangan kerajaan,” katanya.

Pada Julai tahun lalu, DUN Sarawak meluluskan Rang Undang-Undang untuk menambah 17 kerusi negeri baharu, menjadikan jumlah keseluruhan daripada 82 kepada 99, tertakluk kepada proses persempadanan semula oleh SPR.

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga