KUALA LUMPUR, 8 Mei — Jalan Bukit Bintang akan ditutup dari tengah malam hingga 5 pagi esok bagi memberi laluan kepada program Quranic Madani 'Night Reset: Bersatu Dalam Saf @ Bukit Bintang' di hadapan Pavilion Kuala Lumpur, bagi memastikan kelancaran acara dan keselamatan awam.
Penutupan dan lencongan jalan secara berperingkat
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata, program tersebut dijadualkan berlangsung dari jam 8.30 malam hingga 11 malam ini.
"Bagi memastikan kelancaran program dan keselamatan pengguna jalan raya, beberapa penutupan dan lencongan jalan akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut keperluan semasa sepanjang acara," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, jalan-jalan yang terjejas akan dibuka semula secara berperingkat selepas program tamat, tertakluk kepada keadaan trafik dan situasi semasa di lokasi.
Nasihat kepada orang ramai
"Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan untuk mengelak daripada menggunakan laluan yang terjejas dan merancang perjalanan lebih awal dengan menggunakan laluan alternatif yang sesuai," katanya.
Beliau berkata, pemandu juga digalakkan menggunakan pengangkutan awam seperti LRT, MRT, Monorel atau perkhidmatan e-hailing bagi membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di pusat bandar.
Beliau turut mengingatkan orang ramai supaya mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh anggota polis trafik yang bertugas di lokasi dan mengamalkan pemanduan yang sopan serta bersabar sepanjang tempoh penutupan jalan.
Maklumat lanjut
Sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut mengenai program dan laluan yang terjejas boleh diperoleh dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran. — Bernama



