Kampung Parit Bugis rayu jadi Kampung Budaya Jawa Malaysia
Kampung Parit Bugis rayu jadi Kampung Budaya Jawa

MUAR: Bunyi gamelan sesekali memecah kesunyian di Keraton Mbah Anang, rumah kayu yang dibina sekitar 1940-an masih tersergam indah di Kampung Parit Bugis, Muar atas usaha penduduk setempat tanpa sokongan pembangunan menyeluruh daripada kerajaan negeri atau agensi berkaitan.

Keraton Mbah Anang sebagai pusat budaya

Pengasas Persatuan Jawa Parit Bugis, Johar Paimin, berkata Keraton Mbah Anang yang dibina moyangnya kira-kira 80 tahun lalu kini berfungsi sebagai pusat budaya dan warisan Jawa-Malaysia, termasuk aktiviti gamelan, kuda kepang, barongan, wayang kulit serta gastronomi tradisional. Selain menjadi pusat latihan gamelan untuk pelajar sekolah rendah dan universiti, Keraton Mbah Anang pernah menganjurkan festival berskala besar seperti Festival Wong Jowo yang menghimpunkan peserta dari Malaysia, Singapura dan Indonesia.

Di sebalik penganjuran acara yang menarik ribuan pengunjung, Johar berkata, promosi rasmi masih lemah. “Papan tanda tak ada. Jalan pun komuniti yang lebarkan sendiri supaya bas pelancong boleh masuk,” katanya kepada FMT sambil menambah kos penyelenggaraan kawasan itu lebih RM10,000, tidak termasuk kos lain, datang daripada penduduk setempat. “Exco pelancongan tak pernah ke sini. Menteri besar pun belum pernah datang. Tetapi, kami tetap bergerak.”

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

Dana terhad dan potensi pelancongan

Jelasnya, dana yang disalurkan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya hanya untuk penganjuran program, jadi beliau mengharapkan sokongan kerajaan negeri memandangkan kawasan itu menerima ratusan pengunjung setiap hujung minggu, termasuk kumpulan pelancong dari Singapura, yang tidak dikenakan sebarang bayaran. Tanpa promosi rasmi, katanya, potensi Keraton Mbah Anang tidak dapat dikembangkan sepenuhnya.

Justeru, beliau mengemukakan beberapa cadangan kepada kerajaan negeri dan persekutuan, termasuk mengiktiraf Kampung Parit Bugis sebagai Kampung Budaya Jawa Malaysia, iaitu pusat warisan rasmi. Ini kerana, katanya, Kampung Parit Bugis bukan sekadar penempatan biasa, sebaliknya hampir 100% penduduknya berketurunan Jawa yang masih mengekalkan identiti budaya secara aktif.

Menangani salah faham budaya Jawa

“Semua ini penting bagi memastikan warisan Jawa tidak terus dianggap sekadar budaya kecil atau disalah tafsir sebagai unsur mistik. Bila sebut Jawa, orang terus fikir mistik, sedangkan kami sudah buang elemen khurafat dan fokus kepada budaya,” katanya sambil menegaskan wujud kekeliruan dalam memahami identiti Jawa di Malaysia. “Yang kami risau, budaya Jawa Malaysia disamakan dengan Jawa Indonesia, sedangkan konteksnya berbeza.”

Beliau berkata, pihaknya turut bekerjasama dengan Jabatan Agama Islam Johor bagi memastikan aktiviti budayanya tidak bercanggah garis panduan agama. Jelasnya, pembangunan budaya di Parit Bugis boleh dilengkapkan dengan tarikan lain seperti Gunung Ledang untuk membentuk ekosistem pelancongan budaya dan sejarah di Muar.

Rayuan agar tidak dipinggirkan

Johar menggesa kerajaan negeri dan persekutuan tidak terus meminggirkan usaha komuniti itu memelihara warisan. “Harapan kami, jangan pandang sepi budaya Jawa di Malaysia. Bantu kami promosi, bantu kami bangunkan supaya ia terus hidup. Kalau budaya ini tak dijaga, generasi akan datang hanya kenal melalui cerita. Sedangkan di sini, mereka boleh tengok, belajar dan rasa sendiri.”

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga