MIRI, 28 Mei — Polis menahan tiga lelaki tempatan berusia antara 21 dan 31 tahun pada hari Isnin kerana disyaki menceroboh kawasan rumah di Tudan Fasa 3 di sini.
Ketua Polis Daerah Miri, ACP Mohd Farhan Lee Abdullah berkata, polis menerima laporan pada malam Ahad selepas pemilik rumah berdepan dengan suspek di kediamannya kira-kira jam 9.30 malam.
“Dalam laporan itu, pengadu yang merupakan pemilik rumah mendakwa dia terserempak dengan tiga suspek di dalam kawasan rumahnya sebelum dia menjerit, menyebabkan kesemua mereka melarikan diri.
“Bagaimanapun, suspek meninggalkan tiga beg sandang yang mengandungi kad pengenalan serta dua basikal, yang kemudiannya dirampas sebagai bahan kes,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Berdasarkan maklumat yang diterima, satu pasukan dari Bahagian Siasatan Jenayah (CID) Ibu Pejabat Polis Daerah Miri menahan ketiga-tiga lelaki itu di Kampung Tudan di sini.
Mohd Farhan berkata, suspek telah direman sehingga 30 Mei di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan bagi kesalahan menceroboh.
“Jika sabit kesalahan, mereka boleh menghadapi hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda maksimum RM3,000, atau kedua-duanya,” katanya.
Sementara itu, Farhan merakamkan penghargaan kepada orang ramai yang bertindak pantas dalam menyalurkan maklumat kepada polis mengenai kejadian itu.
Beliau juga menggesa orang ramai supaya terus berwaspada dan terus bekerjasama dengan polis dalam usaha memerangi jenayah di daerah ini. — The Borneo Post



