Sabah terima RM17.9 juta baiki lampu jalan, kawasan kemalangan diutamakan
Sabah terima RM17.9 juta baiki lampu jalan, kawasan kemalangan diutamakan

KOTA KINABALU: Peruntukan bagi penyelenggaraan dan pembaikan lampu jalan di sepanjang jalan persekutuan di Sabah telah dinaikkan kepada RM17.9 juta tahun ini, berbanding RM8 juta setahun pada 2024 dan 2025.

Keutamaan kawasan kemalangan

Pembantu Menteri Kerja Raya dan Utiliti Negeri Datuk Limus Jury berkata, kenaikan peruntukan itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam menangani isu lampu jalan rosak di negeri ini.

“Kerja-kerja penyelenggaraan dan pembaikan dijalankan secara berperingkat, dengan keutamaan diberikan kepada kawasan kerap kemalangan, kawasan kurang pencahayaan yang menjejaskan jarak penglihatan pengguna jalan raya, dan kawasan yang dikenal pasti melalui aduan awam yang disahkan.

Banner lebar Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif untuk Telegram

“Lampu jalan di jalan persekutuan adalah aset kerajaan persekutuan dan penyelenggaraannya dibiayai sepenuhnya melalui peruntukan persekutuan,” katanya menjawab soalan Justin Wong Yung Bin (Warisan-Sri Tanjong) mengenai peruntukan penyelenggaraan lampu jalan di jalan persekutuan di Sabah pada Persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Agihan berdasarkan keperluan

Menjawab soalan tambahan Wong mengenai jumlah peruntukan untuk Tawau, Limus berkata agihan dana tidak ditentukan mengikut daerah, tetapi berdasarkan tahap kerosakan dan keperluan semasa di setiap kawasan.

Dalam perkembangan berkaitan, Limus berkata lampu jalan di sepanjang jalan dari Berungis, Tuaran ke Jambatan Tamparuli sering didapati tidak berfungsi, sebahagiannya disebabkan kejadian kecurian kabel berulang di beberapa lokasi sepanjang laluan itu, yang menjejaskan bekalan elektrik kepada sistem lampu jalan.

Langkah jangka panjang

Beliau berkata kerajaan, melalui Jabatan Kerja Raya Sabah, telah mengambil tindakan segera termasuk pemeriksaan, pembaikan sementara, penggantian komponen rosak dan pemantauan tetap di lokasi terjejas.

Limus berkata langkah jangka panjang juga sedang dipertimbangkan, termasuk sistem perlindungan kabel yang lebih selamat dan dipertingkat, serta penambahbaikan reka bentuk sistem untuk mengurangkan risiko kecurian pada masa hadapan. – Bernama

Banner selepas artikel Pickt — aplikasi senarai beli-belah kolaboratif dengan ilustrasi keluarga