GEORGE TOWN, 8 Mei — Pulau Pinang kekal sebagai nadi perindustrian negara dan diiktiraf sebagai salah satu pusat teknologi serta pelaburan berimpak tinggi di rantau ini.
Perdagangan cecah RM956 bilion
Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib, berkata jumlah perdagangan negeri itu pada tahun 2025 mencecah RM956.37 bilion, meningkat 17.9 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Daripada jumlah tersebut, eksport bernilai RM573.91 bilion manakala import berjumlah RM382.46 bilion. Ini mengekalkan kedudukan Pulau Pinang sebagai salah satu penyumbang eksport utama negara dengan kira-kira 35.7 peratus daripada jumlah eksport Malaysia.
Pelaburan diluluskan RM63.96 bilion
Menurut maklumat daripada Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), pelaburan yang diluluskan untuk Pulau Pinang pada 2025 berjumlah RM63.96 bilion. Pelaburan domestik menyumbang RM38.85 bilion manakala pelaburan asing sebanyak RM25.10 bilion.
Sektor perkilangan kekal sebagai pemacu utama dengan nilai sekitar RM22.38 bilion, diterajui oleh industri Elektrik dan Elektronik (E&E).
Sektor perkhidmatan pula mencatatkan sekitar RM41.22 bilion, dengan sumbangan besar daripada subsektor Teknologi Maklumat dan Komunikasi.
Ekonomi digital pacuan baharu
Tun Ramli berkata ekonomi digital telah muncul sebagai pemacu baharu ekonomi negeri, dengan sasaran sumbangan sehingga 35 peratus kepada KDNK negeri menjelang 2030.
Negeri ini berpotensi menarik pelaburan digital bernilai RM20 bilion dan mewujudkan 50,000 pekerjaan berkemahiran tinggi.
Dalam ekosistem ini, syarikat permulaan (startup) di negeri ini terus menunjukkan pertumbuhan positif, dengan pembiayaan RM23 juta diperoleh antara 2023 dan awal 2026.
Sebanyak 300 startup telah berdaftar menjelang 2025, mewakili kira-kira 60 peratus daripada sasaran Penang2030.
Pencapaian ini mencerminkan kekuatan ekosistem pelaburan Pulau Pinang yang kekal kompetitif, stabil, dan dipercayai pelabur domestik serta antarabangsa.



