JOHOR BAHRU, 11 Mei — Polis menahan tiga individu semalam bagi membantu siasatan berhubung kejadian tembakan maut yang mengorbankan seorang lelaki di hadapan sebuah pusat hiburan di Taman Industri Jaya, Skudai, pada 9 Mei lalu.
Tiga suspek ditahan
Pemangku Ketua Polis Johor, DCP Hoo Chuan Huat, berkata kesemua suspek yang berusia antara 26 hingga 29 tahun itu terdiri daripada dua lelaki tempatan dan seorang wanita. Tiada senjata ditemui semasa penahanan mereka.
“Mereka ditahan bagi membantu siasatan, dan hanya seorang daripada suspek lelaki mempunyai rekod jenayah sebelum ini,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.
Mangsa bekerja di gudang Singapura
Hoo berkata, pihak polis masih menentukan motif pembunuhan mangsa yang berusia 27 tahun dan bekerja di sebuah gudang di Singapura. Penyiasat juga sedang meneliti kemungkinan kaitan dengan kegiatan kongsi gelap atau jenayah terancang.
Beliau menambah, seorang lagi lelaki berusia 27 tahun yang turut ditembak dalam kejadian itu adalah rakan kepada mangsa.
Laporan diterima jam 11 malam
Semalam, Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, ACP M. Kumarasan, berkata pihaknya menerima laporan mengenai kejadian tembakan pada jam 11 malam daripada seorang wanita tempatan berusia 27 tahun.
Beliau mengesahkan mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kesan tembakan, manakala rakannya cedera dalam insiden tersebut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh. — Bernama



